Sabtu, 25 September 2010

KPRU gesa kerajaan bentangkan laporan penilaian separuh penggal Belanjawan Negara 2010

MERDEKA REVIEW

Sempena pelancaran 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang merangkumi 131 Projek Penggerak Ekonomi (EPP) serta 60 peluang perniagaan baru-baru ini, Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berpandangan bahawa dasar pembangunan ekonomi tidak akan membawa hasil yang diharapkan tanpa disusuli dengan langkah pembaharuan institusi politik.

Inisiatif perubahan dan pembaharuan dari sudut amalan ketelusan, keterbukaan dan kebertanggungjawaban harus dilaksanakan secara serentak agar berupaya memberi impak dan transformasi yang akhirnya dapat mengangkat usaha pembangunan negara kepada suatu tahap yang lebih baik. Justeru, KPRU ingin mengemukakan cadangan pembaharuan yang harus dilaksanakan ke atas proses penyediaan Belanjawan Negara sebagai langkah awal dalam merealisasikan prinsip keterangkuman (inclusive) yang dijuarai oleh Model Ekonomi Baru (MEB).

Selama ini, proses penyediaan Belanjawan Negara terlalu bersifat tersembunyi. Strategi Belanjawan Negara ditentukan oleh segelintir kecil para pimpinan atasan dan ruang pembicaraan yang melibatkan proses penyediaan Belanjawan Negara sebelum pembentangannya di Parlimen adalah terhad sekali. Umum sedia maklum, hak warga negara di sisi Perlembagaan khasnya peranan sebagai pembayar cukai telah mencorakkan sifat warganegara sebagai pihak berkepentingan dalam urusan kewangan negara, mahu tidak mahu, kerajaan harus menjadikan proses penyediaan Belanjawan Negara lebih telus, terbuka dan terangkum.

Menurut kajian yang dijalankan oleh International Budget Partnership (IBP) yang berpangkalan di Washignton, negara yang tidak mempunyai proses penyediaan belanjawan telus dan terbuka lazimnya merupakan negara yang berpendapatan rendah. Kebanyakan negara dalam kategori tersebut adalah negara yang banyak bergantung kepada pendapatan hasil minyak ataupun pinjaman luar negara, mempunyai institusi demokrasi yang lemah, dan selalunya diperintah oleh rejim kuku besi.<1>

Memang jelas dilihat bahawa beberapa ciri tersebut mirip dengan situasi Malaysia dewasa ini. Hakikatnya, Malaysia hanya mencapai 35 markah dalam Indeks Keterbukaan Belanjawan 2008 (Open Budget Index), dan kedudukan Malaysia adalah lebih rendah berbanding dengan Zambia (47), Namibia (47), Indonesia (54), Thailand (40) dan Mongolia (36).

Oleh sebab itu, Belanjawan Negara 2011 yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Najib Razak pada 15 Oktober ini di Parlimen wajar dinilai proses penyediaannya dari segi keterbukaan selain diberi perhatian sewajarnya kepada ketegasan kerajaan untuk membawa Malaysia ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Sebagai langkah awal untuk mewujudkan Belanjawan Negara yang memenuhi prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan keterbukaan, KPRU mencadangkan satu Laporan Penilaian Separuh Penggal Belanjawan Negara 2010 dibentangkan dua minggu sebelum pengumuman Belanjawan Negara 2011. Langkah ini bukan sahaja memenuhi hasrat Perdana Menteri untuk mengutamakan pencapaian dalam gagasan 1Malaysia, malah hal ini juga dapat membuktikan bahawa kerajaan memberikan perhatian khusus terhadap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam setiap aspek, termasuk urus tadbir kewangan negara yang dianggap amat kritikal.

Kedudukan Perdana Menteri yang turut memegang portfolio Kementerian Kewangan, potensi percanggahan kepentingan yang akan timbul di antara kedua-dua portfolio tersebut juga dapat diteliti dan diberikan sekat dan imbang (check-and-balance) dengan pembentangan laporan penilaian tersebut.

Pembentangan laporan penilaian belanjawan bukan merupakan perkara baru. Negara Afrika Selatan umpamanya mewajibkan pengumuman kenyataan pra-belanjawan tidak kurang daripada sebulan sebelum pembentangan belanjawan menerusi penguatkuasaan undang-undang. Kenyataan tersebut mesti menyentuh aspek tinjauan ekonomi, rangka fiskal dan dasar utama perbelanjaan. Di Britain dan New Zealand, laporan pra-belanjawan dan strategi belanjawan dikeluarkan beberapa bulan sebelum pembentangan belanjawan.<2> Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) pula mengesyorkan laporan pra-belanjawan harus diterbitkan tidak kurang daripada sebulan sebelum pembentangan belanjawan.

Selain daripada laporan penilaian, petunjuk-petunjuk lain yang dapat memenuhi prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan keterangkuman turut termasuk:

1. Menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Belanjawan di Parlimen;
2. Mengadakan rundingan terbuka dan sesi kunjungan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak;
3. Menganjurkan taklimat pra-belanjawan kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira fahaman parti politik;
4. Memperuntukkan lebih masa kepada Ahli Parlimen untuk mengkaji belanjawan sebelum perbahasan;
5. Membenarkan dan memperluaskan akses orang awam kepada butiran belanjawan menerusi Internet.

<1> http://www.openbudgetindex.org/index.cfm?fa=keyFindings
<2> The Budget Process, David G. McGee, 2007, m.s 28

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman KPRU.

*Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) merupakan sebuah pusat kajian yang bebas dan kritikal. KPRU ditubuhkan pada era pasca 8 Mac dengan tujuan membawa idea perubahan kepada warga Malaysia melalui kajian dan sesi dialog.

Fokus KPRU adalah kepada bidang ekonomi politik dan sektor strategik yang dapat membawa impak jangka masa panjang kepada masyarakat. Dengan penerapan idea baru dan interaksi dengan pelbagai pihak berkepentingan, kajian KPRU diyakini akan membawa pemikiran dan wacana segar untuk menghadapi cabaran negara dalam dekad yang akan datang.

Tiada ulasan: