Sabtu, 18 September 2010

Konsep 1 Malaysia tidak gagal, tegas Najib

TERKINI


KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempertahankan konsep 1 Malaysia hari ini sambil menegaskan ia tidak gagal, sebaliknya pelaksanaan mengalami kemajuan yang disasarkan.

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa ada kemungkinan konsep itu tidak menjadi kenyataan sepenuhnya pada hari ini tetapi akan membantu semua lapisan masyarakat kelak.

Najib (gambar) melahirkan kekecewaan kerana sesetengah pihak dengan cepat mengkategorikan idea beliau itu sebagai sudah gagal hanya kerana mereka beranggapan tidak dilayan dengan adil.

“Saya mahu mengatakan bahawa apa yang kami lakukan setakat ini hanya permulaan, ia satu perjalanan. Malah konsep 1 Malaysia ini.... tidak menjadi kenyataan hari ini.

“Dan, saya tidak melihat adalah adil untuk - oh, saya tidak mendapat layanan adil, oleh itu 1 Malaysia sudah tidak bergerak. Itu bukan caranya.

“(Konsep) 1 Malaysia bergerak dengan baik,” kata beliau dalam ucaptama Seminar “Living in a Multi-Ethnic Society” anjuran Yayasan 1 Malaysia di sini hari ini.

Najib berkata gagasan 1 Malaysia adalah “kerja dalam pelaksanaan”, yang akan mencapai objektifnya dengan sokongan dan komitmen padu daripada semua lapisan rakyat.

Beliau menegaskan gagasan 1 Malaysia serta langkah transformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan ialah satu proses yang berterusan.

Dalam pada itu, Najib menyarankan supaya rakyat Malaysia menguji diri sendiri terlebih dahulu dengan “Ujian 1 Malaysia” jika berdepan dengan sebarang isu perkauman.

Katanya Ujian 1 Malaysia memerlukan mereka bertanyakan diri sendiri terlebih dahulu persoalan seperti bagaimanakah pendirian mereka dalam isu etnik tertentu memberi impak kepada etnik atau agama orang lain.

Mereka juga boleh bertanyakan diri soalan seperti: “Apakah ia dapat meningkatkan keharmonian atau mengakibatkan kebencian terhadap kaum saya sendiri di kalangan kaum-kaum yang lain atau adakah ia boleh membawa kepada persefahaman yang lebih baik di antara kaum dan meningkatkan perpaduan nasional yang lebih mantap, atau sebaliknya.”

“Saya sering merasakan bahawa setiap kumpulan mahupun individu serta semua institusi yang berpengaruh dalam masyarakat, cubalah menguji diri sendiri terlebih dahulu dengan ‘Ujian 1 Malaysia’ sekiranya mereka berhadapan dengan sebarang isu perkauman di mana-mana sahaja mereka berada,” katanya.

Beliau berkata besar kemungkinan satu suasana yang lebih kondusif untuk perpaduan dan keharmonian masyarakat di negara ini dapat diwujudkan jika semua orang yang berpengaruh dalam masyarakat menyedari bagaimana kenyataan dan kata-kata mereka mampu mempengaruhi orang lain, dan mereka ingin menjalankan “Ujian 1 Malaysia” terlebih dahulu.

Mengenai peranan ahli politik, Najib berkata para pemimpin politik tanpa mengira latar belakang juga haruslah bersama-sama memperjuangkan perpaduan rakyat seperti yang digariskan dalam gagasan 1 Malaysia.

“Janganlah kita bercakap atau bertindak dalam keadaan yang akan merosakkan perasaan muhibah dan saling memahami di kalangan masyarakat. Usahlah mengambil sikap yang ekstrem,” katanya.

Beliau berkata mereka juga seharusnya berhenti daripada menyentuh atau mempersoalkan isu-isu yang mungkin menyinggung kumpulan atau kaum lain.

Tiada ulasan: