Sabtu, 18 September 2010

Ketua AMK Perak ‘lega’ 4 ketua AMK keluar parti

pkr bm Oleh Jamilah Kamarudin

PETALING JAYA: Empat pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang Perak yang mengumumkan keluar PKR hari ini didakwa mempunyai masalah disiplin dalam parti.

Malah, salah seorang daripada pemimpin terbabit dikatakan telah dipecat keahliannya oleh Lembaga Disiplin PKR Pusat kira-kira dua minggu lalu, manakala tiga yang lain dikenakan tindakan amaran.

"Mereka didapati berkomplot dengan Umno untuk memburukkan PKR dan cuba menghasut untuk menarik ahli AMK yang lain supaya bertindak keluar PKR.

"Mereka juga didapati mengadakan pertemuan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang melompat dari PKR dan menyertai Umno, Jamaluddin Mohd Radzi (Adun Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Adun Changkat Jering) Mei lalu," kata Ketua AMK Perak Abdul Yunus Jamhari ketika dihubungi FMT.

Dalam sidang media di Ipoh tengahari tadi, Bernama melaporkan Ketua AMK Cabang Parit Faizal Effendi Hasim bersama Ketua AMK Cabang Kampar Rosli Abdullah, Pemangku Ketua AMK Padang Rengas Ahmad Shahrul Zamsuri, dan Timbalan Ketua AMK Kuala Kangsar mengumumkan keluar parti atas alasan hilang keyakinan terhadap PKR.

Namun bagi Abdul Yunus, pengunduran pemimpin terbabit diibaratkan sebagai proses ‘pembersihan dalaman’ parti.

"Faizal Effendi dipecat oleh Lembaga Disiplin PKR Pusat dua minggu lalu, manakala tiga yang lain diberikan surat tunjuk sebab.

"Kami ada bukti mereka terlibat dalam komplot untuk ‘memancing’ beberapa pimpinan dan ahli PKR untuk lompat parti dengan taktik kotor berupa sogokan wang dan tawaran projek.

"PKR Perak telah pun menghidu perbuatan mereka sejak April lalu dan percaya tindakan mereka keluar parti itu juga ada kaitan dengan bekas Ketua Cabang PKR Ipoh Barat Fauzi Muda yang turut keluar PKR dan berperanan sebagai ‘broker’ dan bersekongkol dengan Jamaluddin dan Osman Jailu," katanya.

Abdul Yunus yang juga Adun Kuala Kurau berkata, tindakan Faizal Effendi dan tiga yang lain itu sedikit pun tidak menjejaskan kepimipinan PKR di negeri itu.

Malah Yunus berkata pihaknya kini bersedia mengemukakan ‘muka baru’ pemimpin yang lebih berkaliber dan setia selepas melalui beberapa tapisan untuk pemilihan cabang negeri yang bermula 18 September ini.

"Kami rasa ‘lega’ kerana mereka sendiri yang hendak keluar parti. Jadi saya harap dengan barisan muka baru selepas pemilihan cabang nanti saya harap Umno hentikanlah permainan ‘politik kotor’ mereka itu," katanya.

Sementara itu, Bernama hari ini turut melaporkan seramai 72 Wanita PKR Cabang Ipoh Barat mengumumkan keluar parti hari ini atas alasan hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan parti.

Wakil kumpulan itu, Siti Aminah Mansor mendakwa cabang berkenaan kini menjadi parti perkauman kerana hanya mempunyai anggota daripada satu kaum sahaja.

Namun Ketua PKR Wanita Perak Fathmawati Salim menafikan isu tersebut dan menganggap ia hanya sebagai cubaan untuk menggoyahkan kepimpinan PKR negeri itu
Walaupun mengakui cabang terbabit mengalami beberapa masalah dalaman kecil, namun beliau meragui kewujudan 72 individu terbabit.

"Nama Siti Aminah Mansor pun saya tidak pernah dengar, malah Pemangku Ketua Cabang Ipoh Barat Francis turut mengesahkan kepada saya tidak wujud ahli daripada cabangnya yang keluar parti.

"Sejak dari tahun lepas lagi kita dengar ada ahli dari Ipoh Barat yang keluar parti sehingga 100 orang, tapi bila disiasat kami dapati individu yang dikatakan itu tidak wujud," katanya ketika dihubungi FMT.

Tiada ulasan: