Rabu, 22 September 2010

Kes Sosilawati: Seorang Kontraktor Dan Rakannya Tak Pulang-pulang

KELAB GREENBOC

Kes bunuh Sosilawati: Kontraktor tak pulang-pulang

SUNGAI PETANI: “Hati saya terdetik mengatakan suami akan pulang pada Aidilfitri lalu menyebabkan saya membeli sepasang baju Melayu biru untuknya,” kata Samsonnahar Mohd Dali, 35, isteri kepada kontraktor, Shafik Abdullah (gambar), 37, dipercayai turut menjadi mangsa peguam yang kini suspek utama kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain.

Menurut Samsonnahar, walaupun pada hakikatnya dia sedar suaminya mungkin tidak pulang, gerak hati itu menyebabkan dia tetap menaruh harapan berlaku keajaiban dan menunggu kemunculan suaminya pada pagi 1 Syawal lalu.

“Bagaimanapun, impian itu hanya tinggal angan-angan kosong,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, suaminya keluar dari rumah mereka di Taman Bunga Raya, di sini, pada 5 April lalu, kira-kira jam 5 pagi menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream warna emas menuju ke Kuala Lumpur dipercayai berurusan dengan peguam terbabit.

“Sehingga kini, suami tidak pulang ke rumah dan apabila menghubungi telefon bimbitnya, ia diputuskan. Kali terakhir saya bertemu suami pada hari itu manakala pada 7 April antara jam 10.30 malam dan 11 malam, suami menelefon saya memberitahu dia akan pulang pada 9 April.


“Dia juga berharap dapat pulang ke Sungai Petani secepat mungkin kerana mahu memasuki rumah baru yang dibeli di Taman Cemara, kira-kira satu kilometer dari rumah sekarang, tetapi dia sedikit pun tidak mengadu dan bercerita mengenai masalah dihadapinya,” katanya.

Samsonnahar yang mempunyai tiga anak berusia lima hingga 13 tahun berkata, dua hari selepas itu, dia ada menelefon peguam terbabit dan dimaklumkan suaminya ke luar negara dan akan pulang selepas lima atau enam hari lagi.

“Saya terkejut dengan jawapan peguam terbabit sebelum membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani.

“Akibat tidak berpuas hati dengan penjelasan peguam itu, saya ke rumah sewa suami di Meadow Park 2, Jalan Kuchai Lama terkejut apabila menemui pasport antarabangsanya dalam beg, tetapi keretanya tiada di situ,”
katanya.

Menurutnya, kereta milik suaminya ditemui tersorok di tempat letak kereta di Pelabuhan Klang selepas sistem penggeranya berbunyi akibat perbuatan khianat.

Katanya, suaminya dipercayai mengenali peguam terbabit sejak setahun lalu selepas diperkenalkan seorang rakan dan sejak itu, suaminya sering berhubung dengan lelaki berkenaan.

Samsonnahar berkata, dia terkejut apabila Balai Polis Banting, baru-baru ini, memaklumkan bahawa 95 peratus siasatan polis mengesahkan suaminya seorang daripada mangsa peguam terbabit yang kini ditahan polis.

“Saya masih berharap menerima berita gembira. Apapun, saya bersedia menerima sebarang kemungkinan yang menimpa suami dan reda dengan kejadian menimpanya.

“Sejak kehilangan suami, saya banyak melakukan solat tahajud dan hajat. Alhamdulillah selepas lima bulan kehilangannya, saya dapat menerima kenyataan walaupun tidak tahu di mana kubur dan jasadnya,” katanya.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, sumber polis mengesahkan ada menerima laporan mengenai kehilangan Shafik Abdullah dan seorang lagi rakannya sejak April lalu.

Sumber itu berkata, polis mengklasifikasikan kes kehilangan mereka sebagai kes orang hilang dan siasatan lanjut sedang dijalankan sama kehilangan mereka ada kaitan dengan suspek utama kes Sosilawati. -hmetro

1 ulasan:

orangkampong berkata...

Harap pemimpin negara fikirkan bagaimana supaya rakyat dapat hidup dalam aman, bukan dalam ketakutan !.

Jangan bermain dengan slogan kosong, tanpa dipraktikkan !