Rabu, 22 September 2010

Kes Sosilawati: AG arah polis buat siasatan lanjut

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER


KUALA LUMPUR — Pejabat Peguam Negara telah mengembalikan kertas siasatan berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dengan mengarahkan polis melakukan siasatan susulan.

Kertas siasatan itu telah diserah kepada Pejabat Peguam Negara semalam.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Ketua Bahagian Pendakwaan Tun Abd Majid Hamzah berkata polis telah diarahkan untuk melengkapkan siasatan tersebut sebelum menghantar semula ke pihaknya.

Beliau berkata pihaknya telah mengembalikan kertas siasatan itu semalam setelah menerimanya pada hari yang sama kerana banyak lagi perkara yang memerlukan siasatan lebih lanjut.

Katanya Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar) telah memberi beberapa arahan tertentu untuk dijalankan pihak polis dan juga menyiasat kes-kes lain yang dikatakan mempunyai kaitan dengan suspek-supek berkenaan.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika mengesahkan perkara itu turut memberi jaminan bahawa laporan lengkap kes pembunuhan itu akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi.

Hishammuddin berkata polis kini menunggu laporan DNA yang ada ketikanya mengambil masa sedikit untuk disiapkan.

Bagaimanapun, tarikh dan tempoh untuk laporan lengkap itu telah ditetapkan iaitu dalam tempoh dua minggu lagi sebelum hasil siasatan lengkap kes itu diserah kepada Peguam Negara untuk proses pendakwaan, katanya.

Setakat ini lapan suspek ditahan berhubung kes pembunuhan ini.

Tahanan perintah mereka telah dilanjutkan baru-baru ini.

Selain Sosilawati, 47, yang juga pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages, turut dibunuh pemandunya Kamaruddin Shamsuddin, 44, peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan perunding kewangannya, Noorhisham Mohammad, 38.

Polis kini turut menyiasat empat kes yang melibatkan tiga kes orang hilang dan seorang wanita yang mati dibunuh di hadapan rumahnya di Banting yang di percayai ada kaitan dengan dua peguam yang merupakan suspek utama kes pembunuhan Sosilawati.

Antara kes tersebut melibatkan seorang kontraktor, Shafik Abdullah, 37, dan seorang rakannya yang dilaporkan hilang oleh keluarganya lima bulan lepas selepas dipercayai menemui peguam tersebut di ibu negara bagi urusan perniagaan.

Kehilangan Shafik dan rakannya telah dirujuk di ibu pejabat Daerah Brickfields.

Selain itu, ia turut melibatkan kes kehilangan saudagar batu permata,

Allal Kathan Muthuraja, 34, dari Chennai, India yang tiba di Malaysia pada 18 Januari lepas.

Allal yang mempunyai perniagaan restoran, hartanah dan barang kemas dilaporkan hilang selepas dijemput kedua-dua suspek terbabit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tiada ulasan: