Khamis, 23 September 2010

Kes Bunuh Adik VK Lingam 16 November


TV SELANGOR

PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 16 Nov ini bagi sebutan semula kes tiga lelaki yang didakwa membunuh adik bongsu peguam Datuk V.K Lingam di sebuah kuil Ogos lalu.

Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya memohon
tarikh sebutan baru bagi kes tersebut.

"Pihak kami masih belum menerima laporan kimia dan laporan bedah siasat. Justeru, kami memohon satu tarikh sebutan baru bagi membolehkan dokumen berkaitan diperoleh untuk diserahkan kepada pihak pembelaan," katanya.

Pada 13 Ogos lalu, D. K. Saravanan, 29, A. Thayalan dan M. Devidasan yang masing-masing berumur 30 tahun mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersama-sama membunuh V. Rajendram, 52.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Kuil Audiyar Muniswara, Jalan Puteri, Bandar Puteri, Puchong, di antara pukul 9.30 malam, 2 Ogos dan 12.05 tengah malam, 3 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Saravanan yang bekerja sebagai juru wayar, Thayalan bekerja sendiri dan Devidasan seorang pekerja kilang diwakili peguam P.Sutheswary manakala peguam S. Thisinayagam bertindak sebagai peguam pemerhati untuk keluarga mangsa.

Pada 3 Ogos lepas, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada tujuh adik-beradik, ditemui mati kira-kira pukul 3 pagi di sebuah stesen minyak di Bandar Puteri Puchong selepas dipercayai dipukul tiga lelaki di sebuah kuil.

Keluarga mangsa juga pernah mengiklankan akan memberi ganjaran RM50,000 kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat berhubung pembunuhan tersebut.

Tiada ulasan: