Khamis, 9 September 2010

Keningau:Kehadiran teksi dan bas luar daerah, Perpeksa dakwa alami kerugian

KENINGAU KINI

KENINGAU: Persatuan Kereta Sewa Keningau Sabah (Perpeksa), mendakwa ahli-ahlinya mengalami kerugian besar setiap kali musim perayaan, berikutan kehadiran pengusaha teksi dan bas daripada luar daerah yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan penumpang untuk ke daerah Keningau.

Presiden persatuan itu, Masdir Husin memberitahu dalam satu temu ramah, pengusaha teksi atau bas luar daerah yang sering terlibat dalam aktiviti ini, ialah daripada Beaufort, Menumbuk, Papar, Sipitang dan Ranau.

Katanya, setiap kali perayaan, mereka-mereka ini akan memenuhi terminal Kota Kinabalu–Keningau.

“Mereka menawarkan perkhidmatan yang murah, menyebabkan penumpang enggan menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh Perpeksa,” katanya.

Setiap perayaan permintaan terhadap perkhidmatan pengangkutan melambung tinggi, disebabkan rata-rata penduduk pedalaman yang bekerja di ibu kota mengambil peluang untuk bercuti.

Bagaimanapun Masdir berkata, keperluan perkhidmatan itu hanya dikaut oleh pengusaha teksi dan bas dari luar daerah, sementara ahli-ahli persatuan sekadar memperolehi sedikit daripadanya.

Kehadiran perkhidmatan kereta sapu turut memburukkan keadaan, apa yang Masdir sifatkan semua itu seolah-olah dihalalkan pada musim perayaan.

Sehubungan dengan itu, beliau mendesak penguatkuasaan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Pengangkutan (LPKP).

Masdir mendakwa, aktiviti seumpama itu berjalan seminggu sebelum perayaan tiba, dan dilakukan dengan cukup terancang dan licik.

Menangani masalah itu, Masdir mencadangkan supaya pemeriksaan berterusan selama seminggu sebelum perayaan perlu dilakukan oleh dua agensi itu, dengan menjadikan sekatan perangkap sekurang-kurangnya di dua lokasi.

Lokasi pertama ialah di Station Tempat Rehat Kimanis–Keningau, dan satu lagi ialah berhampiran Station Shell Terakhir Dongonggon, Penampang.

“Ini adalah kaedah yang terbaik untuk mengekang masalah ini,” katanya dan menambah, dengan pemeriksaan itu dapat membantu JPJ atau LPKP untuk mengesan pengusaha pengangkutan yang tidak mematuhi undang-undang.

Menjawab satu soalan, Masdir menasihatkan penumpang supaya memastikan kenderaan yang mereka naik memenuhi keperluan undang-undang jalan raya.

“Anda berhak untuk memastikan pemandu memiliki lesen pengangkutan, kenderaan dilindungi insurans dan cukai jalan,” jelasnya.

Beliau menegaskan, penggunaan pengangkutan awam yang memenuhi keperluan undang-undang, adalah sebaik-baiknya.

“Jangan bermain risiko, kerana ini melibatkan nyawa,” tegasnya.

16 ulasan:

azman berkata...

harap pekara ini dapat dipantau dan diambil perhatian. setiap pengusaha teksi dan bas perlulah mematuhi peraturan dalam menjalankan operasi mereka.

Tanpa Nama berkata...

“Anda berhak untuk memastikan pemandu memiliki lesen pengangkutan, kenderaan dilindungi insurans dan cukai jalan,”

anda mempunyai hak sebagai pengguna pengangkutan awam.. kehadiran pengusaha pengankutan di luar daerah keningau patut dilihat sebagai satu bentuk persaingan dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik untuk orang awam. sebaliknya kehadiran kereta sapu wajar diambil perhatian oleh pihak2 yang berkenaan.

Unknown berkata...

Mungkin pemandu2 teksi dan bas luar daerah itu juga memerlukan wang yang banyak bagi menampung perbelanjaan raya ini. Pengguna semestinya akan memilih harga perkhidmatan yang lebih murah, kecuali jika servis perkhidmatan yang disediakan PERPEKSA adalah sangat selesa dan selamat dengan harga yang berpatutan.

mike berkata...

kemungkinan penumpang terpaksa menggunakan khidmat teksi atau bas luar daerah, harus dilihat juga pada faktor pilihan penumpang dan bukan hanya menyalahkan teksi/ bas luar daerah tersebut. ini adalah satu persaingan perniagaan dan harus diatasi dengan bijak..

mike berkata...

PERPEKSA juga harus meneliti jadual teksi/ bas dalam daerah..kemungkinan faktor masa antara menjadi sebab kenapa penumpang lebih tertumpu kepada perkhidmatan teksi/bas luar daerah.

mike berkata...

perkhidmatan teksi sapu secara langsung menjejaskan punca pendapatan mereka yang mempunyai permit sah..agensi yang berkenaan harus melakukan pemantauan serta operasi berkaitan bagi mengawal isu teksi sapu.

mike berkata...

kualiti perkhidmatan teksi/ bas di sabah terutamanya di kawasan pedalaman harus ditingkatkan untuk keselesaan dan keselamatan penumpang..ini adalah antara cara bagi memastikan perkhidmatan yang ditawarkan menjadi pilihan ramai.

Paquin berkata...

Banyak mcm mana sekalipun kereta sapu, rasanya ia takkan menjejaskan mana2 pihak ba...
Tambahan pula, sekiranya perkhidmatan yang ditawarkan berbaloi dengan harga yg dibayar, saya yakin pengguna tetap memilih perkhidmatan yang disediakan oleh PERPEKSA.

Paquin berkata...

Bagaimanapun, saya harap hal ni dapat dipantau bagi memastikan pengusaha mematuhi peraturan. Jangan biarkan kenderaan sapu berleluasa nanti ia mengalakkan pengusaha menjalankan operasi tanpa lesen pula. hehehe

POP berkata...

Perlu diberi perhatian. Hara mereka dapat menyelesaikan masalah ini.

Unknown berkata...

perpeksa kenalah ingat, kalau service serupa dan yang diluar menawarkan perkhidmatan lebih murah..memanglah semua orang akan pergi kepada yang murah. buat apa mau bayar harga tinggi kalau service lebih kurang ja..dan harga tinggi..

Unknown berkata...

peraturan adalah peraturan. siapa yang mau ikut peraturan kalau harga tetap mahal...kenalah bijak dalam memikirkan cara terbaik menangani masalah teksi/bas luar ni. ianya bukan berlaku di keningau ja..di lahad datu dan tawau pun ada banyak kereta sapu yang menawarkan perkidmatan lebih murah berbanding yang berlesen..

Anak Sabah berkata...

Susah juga kalau macam ini. Kebanyakan orang akan memilih pengangkutan yang murah tanpa menghiraukan status pemandu tersebut, janji sampai ke destinasi. Mungkin pihak berkuasa boleh mengenakan tindakan yang keras terhadap pemandu yang tidak mempunyai lesen dan dokumen yang sah.

Unknown berkata...

Seharusnya teksi luar dan bas luar ini tidak patut untuk mengambil laluan untuk kenderaan perdagangan yang lain. Ini menyebabkan mata pencarian mereka berkurangan.

mandau berkata...

perkara ini perlu dipantau, jika teksi dan bas dari luar daerah itu sabh untuk mengambil penumpang, tak perlu nak dipertikaikan.

Tanpa Nama berkata...

jika pengusaha2 teksi dan bas dari luar daerah Keningau boleh menawarkan perkhidmatan yang murah, kenapa tidak Perpeksa?? ini sebenarnya satu bentuk persaingan dan sudah tentu penumpang akan memilih yang terbaik. kehadiran mereka juga ada baiknya untuk memenuhi permintaan perkhidmatan pengangkutan yang tinggi setiap kali musim perayaan.