Sabtu, 11 September 2010

Kementerian Pelajaran Perlu RM500 Juta Untuk Baiki 567 Premis Sekolah

BERNAMA

PAGOH: Kementerian Pelajaran memerlukan peruntukan sebanyak RM500 juta bagi membaik pulih enam peratus atau 567 daripada 9,462 premis sekolah kebangsaan, rumah guru dan asrama desa di seluruh negara yang dikategorikan sebagai amat 'kritikal'.

Timbalan Menterinya Dr Mohd Puad Zarkashi berkata sebahagian besar daripada premis berkenaan adalah di pedalaman Sarawak dan Sabah, manakala sebahagian lagi di Pahang dan Kelantan.

"Kita telah pun mengemukakan permohonan kepada kerajaan untuk mendapatkan peruntukan itu yang akan dimasukan dalam Rancangan Malaysia Ke-10," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini, Sabtu.

Dalam pada itu katanya, kementerian tersebut menerima peruntukan ihsan sebanyak RM50 juta daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk membaik pulih asrama desa.

Katanya daripada jumlah itu, sebanyak RM20 juta masing-masing diperuntukkan bagi Sabah dan Sarawak, manakala baki RM10 juta diguna untuk membaik pulih asrama desa di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Kita telah pun mula menjalankan kerja-kerja membaik pulih sejak Ogos lalu dan kita harap ia akan selesai hujung tahun ini," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kedaifan 567 premis terbabit, Mohd Puad berkata perkara itu berbangkit semasa audit pertama ke atas penilaian fizikal bangunan sekolah, rumah guru dan asrama desa.

Malah katanya, berdasarkan lawatan beliau ke Sabah baru-baru ini mendapati terdapat asrama desa di pedalaman negeri itu yang tidak mempunyai katil dan pelajar terpaksa tidur di atas pangkin yang dibina daripada kayu.

Paling menyedikan apabila ada pangkin berkenaan sudah mula reput kerana dimakan anai-anai, katanya.

Selain itu katanya, terdapat juga kes kehadiran murid ke sekolah amat rendah kerana ketiadaan asrama sedangkan muridnya pula tinggal jauh.

Tiada ulasan: