Jumaat, 10 September 2010

Kementerian Kesihatan kaji semula keperluan pengawal bersenjata api

BERNAMA

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan mengkaji semula keperluan meletakkan pengawal keselamatan bersenjata api di hospital berikutan kejadian dua pengawal keselamatan ditembak mati rakan setugas di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata selain itu pihaknya juga meneliti kemungkinan memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di fasiliti tersebut bagi mengurangkan kebergantungan kepada pengawal keselamatan.

"Kita akan kaji semula keperluan. Kita juga akan pastikan kalau boleh nak tambah CCTV dan kurangkan pengawal. Akan ada pengawal tapi tak perlu terlalu banyak," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan ahli Kabinet di Seri Perdana di sini, hari ini.
Bagaimanapun, kata Liow,, pengawal keselamatan bersenjata api di hospital masih diperlukan.

"Cuma tidak perlu ramai kerana ini bukan bank, tak ada berlaku rampasan apa-apa," katanya.

Pada masa sama, Liow turut meminta masyarakat supaya tidak bimbang dengan kemungkinan pengawal keselamatan di hospital menyalahgunakan senjata mereka kerana setiap mereka telah diselidiki latar belakang selain diberi latihan mencukupi.

Dalam kejadian 27 Ogos lalu, seorang pengawal keselamatan di HTAR dipercayai menembak mati dua rakan setugasnya selepas dikatakan marah apabila ditegur oleh salah seorang daripada mereka kerana tidur semasa bekerja.

Tiada ulasan: