Khamis, 9 September 2010

Kemalangan: Trafik Laluan Bidor-Tapah Sesak Lebih 10km

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Km 334 arah utara dari Bidor ke Tapah mengalami kesesakan lalu lintas sepanjang 10 km pagi ini berikutan kemalangan membabitkan dua buah lori.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata kemalangan di lorong kanan di laluan itu pada pukul 4.30 pagi tadi menyebabkan trafik bergerak perlahan selama hampir lima jam.

"Kemalangan ini melibatkan sebuah treler membawa sayur dengan lori kelas A berdekatan dengan Ladang Bikam. Ia menyebabkan treler terbabas dan melintang ke arah selatan menyebabkan berlaku kesesakan.

"Namun begitu ia tidak menjejaskan aliran trafik menghala ke selatan," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata walaupun kepala treler itu dialihkan kira-kira pukul 8.30 pagi oleh pihak PLUS, keadaan trafik masih perlahan kerana jumlah kenderaan yang banyak.

"Selain itu trafik juga turut bergerak perlahan arah Nilai ke Seremban dan Bidor ke Tapah. Bagaimanapun keadaan trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di persimpangan Bentong Barat pagi ini masih terkawal," katanya.

Pengguna yang ingin mengetahui maklumat trafik sebelum merancang perjalanan pulang ke kampung sempena Aidilfitri esok boleh menghubungi LLM di talian 1800-88-7752.

Plus Ekspressways Bhd sebelum ini berkata jumlah kenderaan yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan semalam dan hari ini dijangka meningkat kepada 1.4 juta berbanding 1.1 juta pada hari biasa.

Tiada ulasan: