Rabu, 15 September 2010

Kecaman Najib Terhadap Perkasa Retorik Politik Terbaru BN


TV SELANGOR

Walaupun enggan menolak Perkasa, Perdana Menteri Najib Razak hari ini mendakwa beliau menentang puak-puak pelampau yang bertindak secara radikal terhadap pihak lain.

Komen Najib itu dibuat pada hari sama Presiden Perkasa Ibrahim Ali menuduh Umno dikuasai oleh parti MCA kerana tunduk kepada tekanan supaya Umno menjarakkan diri dari Perkasa.

Najib sebelum ini dilaporkan berkata Perkasa bukan kumpulan ekstrem malah menghadiri majlis anjuran pertubuhan itu.

Namun dalam usaha mencari sokongan bukan Melayu, Presiden Umno itu dilaporkan mengarahkan pemimpin parti untuk membidas dan menjarakkan parti itu dari Perkasa.

Bagaimanapun hanya segelintir yang menyahut arahan beliau. Antara mereka adalah Setiausaha Agung Umno,Tengku Adnan tengku Mansor, Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan Ahli Majis Tertinggi, Nazri Aziz.

Pemimpin lain seperti Zahid hamidi, Noh Omar, Ahmad Maslan dan Mukriz Mahathir memberi ulasan yang menjurus kepada merestui peranan Perkasa.

Malah akhbar kawalan Umno, Utusan Malaysia turut memberi sokongan penuh kepada Perkasa, sekali gus menempelak usaha Najib untuk meminggirkan pertubuhan itu.

Dalam perutusan sempena Hari Malaysia, Najib sekali lagi tidak menyebut pendiriannya mengenai Perkasa tetapi sekadar melahirkan rasa “sungguh sedih apabila di sebalik tinggal dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan merdeka lebih dari 50 tahun, masih ada di kalangan kita ini yang tidak boleh bertoleransi".

“Apatah lagi menerima kebaikan masyarakat yang berbeza-beza ini,” katanya di dalam entri terbaru bertajuk “Perjuangan Kita Terhadap Faham Pelampau” dalam blognya www.1malaysia.com.my.

Kenyataan Najib itu dianggap satu lagi retorik kerana kerajaan Umno-Barisan Nasional masih bergerak atas dasar perkauman.

Naib Presiden PKR, Dr Lee Boon Chye menegaskan jika benar Perdana Menteri telus mahu menentang politik perkauman di negara ini, ketiga-tiga parti komponen terbesar dalam Barisan Nasional, UMNO, MCA dan MIC haruslah disatukan terlebih dahulu.

"Kalau kita katakan Najib benar-benar ikhlas, betul-betul mahu menghentikan perkauman, apa yang beliau boleh lakukan ialah satu perubahan besar dalam Umno," katanya kepada TV Selangor.

"Tugas pertama yang beliau harus lakukan adalah bubarkan UMNO, MCA, MIC dan jadikan Barisan Nasioanal sebagai parti tunggal yang boleh mewakili semua rakyat Malaysia" ujar beliau lagi.

Menurut Boon Chye, kerajaan UMNO-BN menggunakan konsep serampang dua mata- memberi tekanan kepada Perkasa sehingga pertubuhan bukan kerajaan itu terus melatah mempertahankan Melayu.

"Memamg saya setuju serampang dua mata" ulas Boon Chye tentang taktik yang digunakan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional ke atas Perkasa demi meraih undi masyarakat bukan Melayu di negara ini pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Tambah Boon Chye, walau kini Umno dilihat cuba menyisihkan Perkasa, namun terbukti pertubuhan itu merupakan suara Umno sebelum ini.

" Kalau kita lihat parti politik lain yang ingin berdaftar, mereka ambil masa bertahun-tahun sampai puluhan tahun pun ada. Tetapi untuk mereka yang berpihak kepada UMNO-Barisan Nasional, pendaftarannya dipercepatkan".

Tiada ulasan: