Khamis, 23 September 2010

KEADILAN Buka Ruang Seluasnya Kepada Ahli Pilih Pemimpin


Oleh Nazar Hashim

PENANTI- Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata KEADILAN adalah sebuah parti yang menghormati demokrasi sepenuhnya apabila memberi peluang kepada semua ahli parti untuk menentukan kepimpinan mengikut pilihan mereka sendiri.

Tegas Dr Wan Azizah dalam Pemilihan 2010 kali ini tidak ada pihak atau kumpulan tertentu yang menentukan calon pilihan untuk mengisi mana-mana jawatan samada diperingkat ranting, cabang, negeri mahupun pusat.

"Kita memberi kebebasan sepenuhnya kepada semua ahli parti untuk menentukan siapa sahaja yang mereka rasakan layak dan mampu untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin dalam menerajui kepimpinan parti.

"KEADILAN juga merupakan parti pertama seumpamanya yang melaksanakan demokrasi secara total dengan memberi ruang tanpa apa jua sekatan dan campurtangan bagi semua pihak bertanding secara sihat.

"Amalan demokrasi sebegini tidak juga pernah dilaksanakan oleh Umno dan Barisan Nasional walaupun mereka telah menerajui negara ini sejak 53 tahun yang lalu. Oleh kerana itu sebagai penggerak kepada sistem ini adalah diharapkan demokrasi yang diamalkan menjadi perintis kepada sistem demokrasi yang lebih mantap dan telus dalam negara ini," tegas mantan Ketua Pembangkang wanita pertama negara pada Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Permatang Pauh di Yayasan Aman, Penanti Ahad lalu.

Tambah beliau, amalan pemilihan yang terbaik adalah tanpa kumpulan supaya tidak menimbulkan persepsi 'team' atau pasukan yang akan mengasingkan kelompok ahli antara satu sama lain.

"Bertanding adalah satu amalan yang baik. Cumanya ia patut dilaksanakan secara sihat tanpa menimbulkan apa-apa kegiatan negatif yang bertentangan dengan aspirasi dan kehendak parti.

"Sebagai sebuah parti yang semakin matang bersama-sama dengan ahli yang ada KEADILAN sedang menuju reformasi bagi mengukuhkan parti dan ia juga merupakan satu ujian dalam melaksanakan sistem kepimpinan yang memerlukan ketabahan dalam menghadapi situasi pemilihan sebegini rupa," katanya lagi.

Dalam pemilihan tersebut Dr Wan Azizah memenangi kerusi Ketua Cabang Permatang Pauh tanpa bertanding manakala Timbalan Ketua Cabang turut dimenangi oleh Datuk Mansor Othman setelah kedua-dua pencabarnya menarik diri.

Mesyuarat agung itu dirasmikan oleh Naib Pengerusi KEADILAN Negeri Pulau Pinang merangkap Exco Kerajaan Negeri, Abdul Malik Abul Kassim.

Tiada ulasan: