Selasa, 21 September 2010

Jenapal bukan lagi ahli PKR, tak layak tanding

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan Jenapala Perumal Subaan, yang menawarkan dirinya untuk jawatan timbalan presiden, tidak layak mempersoalkan kepimpinan parti dan pemilihan kerana bukan lagi merupakan ahlinya.

PKR berkata Jenapal telah dipecat daripada parti itu awal tahun lalu kerana masalah disiplin.

“Parti Keadilan Rakyat, kami ingin memaklumkan bahawa Jenapala Perumal sebenarnya telah tidak lagi menjadi anggota PKR setelah beliau dipecat dari keanggotaan pada Februari 2009 kerana mengkritik pimpinan parti secara kasar dan bertindak menubuhkan parti baru,” kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan.

Oleh itu, kata beliau, Jenapala tidak boleh dicalonkan untuk apa-apa jawatan dalam pemilihan kali ini.

Justeru tegas Saifuddin, tindakan Jenapala mempertikai dan mengkritik kewibawaan pemilihan 2010 dengan melontarkan pelbagai tuduhan yang amat tidak berasas, palsu dan bohong dilihat bukanlah perkara yang luar biasa memandangkan beliau telah terbukti sebagai suatu watak yang khianat pada perjuangan.

Semalam, Jenapal, bekas timbalan setiausaha agung PKR mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Azmin Ali menafikan secara terbuka mereka tidak terlibat dalam elemen-elemen taktik kotor untuk meraih pencalonan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan kali ini.

“Saya sekarang mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Umum PKR) dan Azmin Ali (Naib Presiden PKR) untuk mengesahkan atau menafikan mereka terlibat dalam insiden penipuan itu.

“Saya juga ingin tahu sama ada Datuk Seri Anwar sedar akan insiden yang melibatkan seorang pemimpin senior yang memanggil pemimpin India sebagai ‘pariah’ dan adakah permohonan maaf telah dibuat,” katanya.

Beliau menegaskan, terdapat beberapa penipuan yang berlaku ketika pencalonan bagi jawatan parti di beberapa cabang parti termasuk di Permatang Pauh (Pulau Pinang), Batu Gajah (Perak), Kudat dan Silam (Sabah) serta Bandar Indera Mahkota dan Raub (Pahang).

Mesyuarat agung tahunan cabang bermula Jumaat lal dan setakat ini sekitar 80 cabang telah mengadakan pertemuan masing-masing.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali memperoleh pencalonan terbanyak bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.

Datuk Zaid Ibrahim menduduki tempat kedua bagi jawatan timbalan presiden.

Ini kali pertama PKR mengadakan pemilihan langsung melibatkan hak bagi setiap ahli mengundi.

Tiada ulasan: