Khamis, 9 September 2010

Jabatan Kesihatan Kelantan Atur Strategi Khas Tangani Denggi Di Musim Perayaan

BERNAMA

RANTAU PANJANG: Jabatan Kesihatan Kelantan merangka enam strategi khas jangka pendek bagi menangani wabak demam denggi di negeri ini pada musim perayaan Aidilfitri dari 6 hingga 12 September ini.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Wan Mansor Hamzah, berkata langkah itu bagi membendung wabak penyakit itu yang semakin serius di negeri ini dan dapat dikawal sepenuhnya.

Beliau berkata ini juga perlu memandangkan risiko merebaknya penyakit itu semakin tinggi berikutan pertambahan penghuni dalam sesebuah keluarga yang berkumpul sempena hari raya ini, yang menjadi punca pembiakan nyamuk aedes.

"Sebab itu, kita sudah mengatur enam strategi jangka pendek bagi mengawal penyakit itu daripada merebak sepanjang musim perayaan ini," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini, Khamis.

Dr Wan Mansor berkata, antara strategi itu termasuk membekukan cuti semua kakitangan am kesihatan, meningkatkan pendidikan kesihatan di kalangan penduduk, gerakan kempen penerangan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB)dan pengurusan pesakit demam denggi secara berhemah dan rapi.

Beliau berkata jabatannya menggunakan pendekatan itu memandangkan ramai penduduk negeri ini, yang baru pulang ke kampung masing-masing tidak mendapat maklumat jelas mengenai kedudukan sebenar wabak penyakit itu.

"Dengan cara ini, mereka dapat memahami dengan jelas langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil dan usaha jabatan kami menanganinya dalam tempoh jangka masa pendek di musim perayaan ini," katanya.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Dr Wan Mansor dilaporkan berkata, wabak penyakit denggi semakin serius di Kelantan dengan peningkatan 136 peratus atau tujuh kes dilaporkan setiap hari dan keadaan ini amat membimbangkan.

Katanya, sehingga akhir minggu lepas, sebanyak 852 kes dikesan dengan sembilan kematian dan antara jajahan yang paling serius ialah Kota Baharu (667 kes); Pasir Mas )604) dan Tanah Merah (168).

Menurutnya, menerusi rangka strategi itu juga, pihaknya menempatkan dua orang jururawat di sekatan jalan raya Polis/JPJ di dua pintu masuk utama Jalan Gua Musang-Kota Baharu dan Kota Bharu Grik untuk memberi penerangan ringkas dan risalah kepada pemandu kenderaan.

"Selain itu, kita juga dengan kerjasama MPKB memasang papan iklan digital di pusat bandar ini mengenai maklumat terkini wabak penyakit demam denggi serta langkah-langkah pencegahannya," katanya.

Tiada ulasan: