Khamis, 2 September 2010

Isu LDP: Komponen BN tidak boleh angkuh, kata pemimpin Umno



KOTA KINABALU— Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Yahya Hussin menganggap tindakan Datuk Peter Pang En Yin melepaskan keanggotaannya dalam Parti Liberal Demokratik (LDP) semalam sebagai langkah berani, dan pada masa yang sama menggesa komponen BN tidak bersikap angkuh.

Setiausaha Umno Sabah ini berkata, keberanian Pang patut dipuji kerana sanggup mengetepikan kepentingan diri sendiri semata-mata mahu terus bersama pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) Sabah dan memastikan keharmonian komponen parti berbilang kaum terus terjaga.

“Walaupun beliau kini tidak ada parti, yang pasti tindakannya itu baik dan saya puji kerana beliau berani bertindak,” kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah ini dan menambah, tindakan nekad itu prerogatif Pang sebagai individu.

Pang mengumumkan keluar LDP semalam rentetan krisis antara parti itu dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman (gambar) minggu lalu.

Pang, yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah, turut menawarkan untuk meletak semua jawatan dalam kerajaan tetapi tidak sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Karamunting.

Beliau juga Naib Presiden LDP.

Menegaskan tentangannya terhadap pendirian LDP, Pang berkata: “Satu-satunya jalan yang boleh saya ambil ialah meninggalkan parti dengan cara terhormat.”

Yahya menambah, mungkin Pang berasakan tidak ada lagi gunanya untuk terus berkhidmat dengan parti yang tidak dapat bekerjasama dengan kepimpinan Musa.

Perkembangan ini turut menunjukkan dalam LDP juga tiada persefahaman di kalangan anggota dan pemimpinnya, kata beliau.

Yahya berkata, ahli dalam BN lain tidak boleh bersikap angkuh hanya kerana ada permintaannya tidak dilayan.

Jelas beliau, tindakan angkuh mereka hanya merugikan banyak pihak terutama parti itu sendiri.

Pang dilantik Timbalan Ketua Menteri Sabah menggantikan Datuk Raymond Tan, bekas timbalan presiden Parti Progresif Sabah (Sapp) Mei tahun lalu, setelah ia keluar BN September 2008.

Raymond menyertai Gerakan selepas sembilan bulan tiada parti.

Ditanya mengenai tindakan BN Sabah dengan perkembangan terbaru itu, kata Yahya, keputusan terletak di tangan Ketua Menteri.

“Ya, kita pasti akan adakan mesyuarat nanti. Tunggulah keputusan Ketua Menteri nanti,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Webley Dusin berkata, Pang mengambil jalan yang betul keluar LDP kerana perjuangan parti itu sekarang tidak lagi sesuai dengan matlamat BN.

“Pada pendapat saya, beliau mungkin menyertai Gerakan kerana kedudukannya sekarang tidak berparti dan terpulang kepada Datuk Musa sama ada menerima peletakan jawatannya sebagai timbalan ketua menteri dan menteri sukan dan belia.

“Namun jika beliau tidak kekal sebagai menteri belia dan sukan mungkin berlaku sedikit perubahan dalam Kabinet negeri.

“Pembantunya, Datuk Jahid Jahim mungkin menggantikannya dan Datuk Dr Yee Moh Chai dari parti PBS naik jadi timbalan ketua menteri,” kata Exco Pemuda BN pusat ini ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Yee adalah Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat Sabah dan Timbalan Presiden PBS.

Webley menambah, dengan perkembangan terbaru itu, ia akan memperkukuhkan ramalan sesetengah penganalisis politik bahawa pilihan raya umum ke-13 mungkin diadakan dalam tahun ini juga.

Ramai mengatakan, jika PRU tidak diadakan Musa akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri untuk menjawat jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah.

Kekosongan kelak mungkin diisi oleh Pairin.

Yang pasti kata beliau, perkembangan politik di Sabah sekarang akan semakin hangat dan semakin banyak ramalan dikeluarkan dengan ramai pemimpin akan melobi mahu mendapatkan jawatan yang bakal kosong itu.

Mengenai pendapat PBS tentang tindakan Pang, beliau memberitahu, pihaknya sudah banyak pengalaman berada dalam dan luar dalam komponen BN dan daripada pengalaman masa lalu, membuktikan bahawa tiada masalah yang dapat diselesaikan di luar parti pemerintah.

“Disebabkan inilah PBS menyertai semula BN. Sukar menyelesaikan masalah dari luar parti pemerintah dan ini sudah tentu menyukarkan pemimpin berkhidmat memberi pembangunan kepada rakyat,” katanya.

Jelas Webley, jikapun LDP keluar dari BN satu hari nanti, anggota komponen BN termasuk PBS tidak akan kehilangan apa-apa, cuma kesannya akan dirasai calon di kawasan majoriti pengundi Cina.

21 ulasan:

mandau berkata...

tindakan Datuk Pang, menunjukkan bahwa tidak semua ahli LDP setuju dgn pendirian Datuk Chin. tindakan beliau adalah tepat kerana sebagai ahli BN, seharusnya menyokong kepimpinan BN.

joey berkata...

setiap parti komponen perlu mengutamakan kepentingan bersama. kerjasama semua pihak penting untuk menjaga keharmonian parti.

Tanpa Nama berkata...

LDP patut mengubah pendirian mereka jika mahu terus berjuang bersama2 dengan komponen parti yang lain. keutamaan perlu diberikan kepada masalah2 yang sedang dihadapi oleh rakyat bukannya yang telah diselesaikan atau yang diluar kepentingan rakyat.

Tanpa Nama berkata...

LDP telah membuat parti mereka sendiri dalam keadaan tidak tenteram dan huru hara dengan apa yang telah Chin lakukan melalui kenyataan kepada datuk Musa Aman. Ini merupakan tindakkan yang salah bagi Chin dan menyebabkan Datuk Peter Pang keluar dari parti itu.

Tanpa Nama berkata...

selesaikan konflik ini secepat mungkin dan alihkan perhatian kepada isu2 yang lebih memerlukan penyelesaian segera. jangan sampai isu ini dijadikan bahan politik oleh pihak pembangkang, kerana ia bakal mengundang retak dalam kepimpinan BN di Sabah.

Unknown berkata...

Tindakan Datuk Pang harus dipuji kerana sanggup meletak jawatan semata-mata mahu terus bersama pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) Sabah dan memastikan keharmonian komponen parti berbilang kaum terus terjaga. Ia adalah penting untuk setiap komponen BN untuk tidak bersikap angkuh. Kerjasama semua komponen BN amat diperlukan untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Unknown berkata...

Saya begitu setuju dengan Setiausaha Umno Sabah yang menyatakan bahawa Datuk Pang itu bertindak sebagai seorang yang berani dalam hal ini dan juga beliau mengetepikan hal peribadi dan menyokong lebih kepada kepimpinan Datuk Musa Aman. Datuk Pang memang tahu kebenaran, dan tidak puas hati dengan kenyataan yang telah dikatakan oleh Chin baru-baru ini.

Unknown berkata...

datuk Peter pang merupakan seorang yang begitu mementingkan kerajaan daripada diri beliau sendiri sehingga sanggup meninggalkan parti untuk terus memberikan sokongan kepada Ketua Menteri. Oleh itu beliau memang patut mendapat pujian atas tindakkan beliau itu.

Unknown berkata...

I'm beginning to think that Datuk Chin's statement does not represent the whole members of LDP party.

samm berkata...

LDP perlulah bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam BN agar dapat bersama-sama berkhidmat kepada rakyat. sebarang isu pasti dapat diselesaikan dengan cara yang baik.

Unknown berkata...

Mana2x parti tidak harus bersikap angkuh. Adalah penting komponen parti bekerkerjasama untuk menjaga keharmonian parti.

Anak Sabah berkata...

Keangkuhan tidak langsung bermanfaat. Tidak kira sesiapa pun, bersikap rendah diri lebih baik daripada bersifat angkuh.

Tanpa Nama berkata...

tindakan yang dibuat datuk Peter Pang memang tepat, jika beliau tak setuju dgn tindakan LDP, adalahal ebih baik beliau keluar parti. sebagai ahli BN, seharusnya memberi sokongan penuh terhadap perjuangan BN. kepentingan peribadi perlu diketepikan.

mike berkata...

datuk pang memang berani mengambil tindakan tersebut disebabkan oleh pendirian parti LDP yang seperti 'talam dua muka'.

mike berkata...

tindakan datuk pang menunjukkan bahawa tidak semua ahli parti LDP yang menolak sebarang kerjasama dengan Musa. ternyata bahawa pernyataan yang dibuat oleh Chin hanya berdasarkan kepada emosi semata-mata tanpa terlebih dahulu berunding dengan ahli2 parti LDP yang lain.

mike berkata...

ahli2 parti LDP lain yang tidak bersetuju dengan pendirian pucuk pimpinan parti, harus meninggalkan parti tersebut.

Paquin berkata...

Inilah kejadiannya kalau asyik turutkan kata hati.. hhmmm.

Paquin berkata...

Sepatutnya utk kepentingan ramai, LDP kenalah bg kerjasama dan bukannya ikut sedap mulut ja utk luahkan ketidakpuasan hati.

Paquin berkata...

Tak salah kalau timbul ketidakpuasan hati, tapi hadapilah secara profesional dan matang. Semua perkara lebih mudah diselesaikan dalam keadaan yang baik berbanding daripada keadaan tegang!!

Paquin berkata...

Jadi LDP sepatutnya memilih cara yang mudah untuk menyelesaikan salah faham yang timbul dan bukannya mewujudkan kontroversi pula. Isu yang diputuskan di mahkamah haruslah diterima seadanya..

Paquin berkata...

Apapun saya sependapat dengan mike. Tindakan Datuk Pang jelas menggambarkan bahawabukan semua ahli parti LDP yang menolak sebarang kerjasama dengan Musa.