Isnin, 20 September 2010

Helah lapor jumpa bayi tak menjadi

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Pelajar IPT ditahan mengaku lahirkan anak

JITRA: Tindakan remaja perempuan yang sanggup berlakon kononnya dia menemui seorang bayi perempuan di belakang rumahnya di Taman Rasa Sayang, di sini, terbongkar apabila dia akhirnya mengaku baru melahirkan bayi itu ketika disoal siasat polis, kelmarin.

Remaja berusia 20 tahun yang juga penuntut semester tiga sebuah universiti tempatan di Selangor kemudian ditahan polis kerana disyaki membuang bayi perempuannya yang cukup sifat dan masih hidup.

Dia ditahan di rumahnya pada jam 8.30 malam selepas anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu mengesyaki sesuatu mencurigakan ketika mengambil keterangannya apabila suspek didapati tidak bermaya dan lesu.

Remaja terbabit dikatakan membuang bayi itu di belakang rumah sejurus melahirkannya petang kelmarin dipercayai bagi mengelak ia diketahui ahli keluarganya yang berada di rumah ketika itu.

Sumber berkata, remaja itu kemudian memberitahu ibunya yang berusia 50-an kononnya dia terdengar bunyi tangisan bayi di belakang rumah ketika sedang mandi pada jam 5 petang dan mengambilnya.

Bayi perempuan seberat 2.8 kilogram itu dibawa ke Hospital Jitra (HJ) untuk mendapatkan rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan sihat.

Selain itu, polis turut menemui uri bayi terbabit di lokasi kejadian dan mengambilnya sebelum dihantar ke HJ untuk membantu siasatan.
Sumber berkata, remaja itu dikatakan menyembunyikan kehamilannya dengan memakai pakaian bersaiz besar.

Katanya, keluarga remaja itu terkejut apabila anggota polis yang datang mengambil keterangan pelajar terbabit bagi membantu siasatan selepas mengesyaki dia adalah ibu bayi itu.

Polis menahannya malam tadi (kelmarin) apabila mendapati tubuhnya lemah seperti baru bersalin dan sebaik menjalani pemeriksaan di HJ, doktor mengesahkan dia baru melahirkan bayi.

Malah, dia juga mengaku meletakkan bayi itu di belakang rumah sebelum mengambilnya, katanya.

Difahamkan, remaja berkenaan hamil selepas melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya yang juga seorang anggota tentera.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohd Yusoff ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Tiada ulasan: