Isnin, 27 September 2010

Hata Wahari: Edaran Utusan jatuh kerana laporan berat sebelah

Hata Wahari

NATIONAL UNION OF JOURNALISTS MALAYSIA (NUJ MALAYSIA) merasa bimbang dengan kejatuhan edaran-edaran akhbar arus perdana (MSM) di negara ini terutama akhbar Utusan Malaysia.

Jumlah edaran akhbar Utusan Malaysia merudum dari 213,000 kepada 169,000 (-21%) dalam tempoh 2005-2009 seperti yang dikeluarkan oleh Audit Bureau of Circulations (ABC) pada 10 September lepas.

Awang Selamat dalam ruangan pojoknya yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia pada Ahad lepas bagi menjawab kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz menyatakan pertumbuhan luar biasa laman-laman sesawang apatah lagi laman sosial seperti facebook dan tweeter, "memburukkan" lagi keadaan.

Awang Selamat menyatakan itu belum mengambil kira radio, televisyen dan penggunaan telefon bimbit dalam menyalurkan berita terkini menjadikan pengguna mempunyai banyak pilihan, tidak semestinya akhbar sebagaimana dahulu.

Awang Selamat juga menyatakan di Asia, banyak akhbar kategori serius seperti Utusan jatuh kecuali yang berkonsep populis, sensasi dan bacaan ringan. Di Malaysia, banyak akhbar termasuk Utusan turut sama mengalami penurunan edaran.

Awang Selamat menegaskan walaupun edaran akhbar Utusan mengalami kemerosotan, ia harus mengambil kira jumlah pembaca menerusi versi Utusan Online. Jika digabungkan antara edisi online dan cetak, jumlah pembaca Utusan adalah jauh lebih besar berbanding sedekad yang lalu.

Dalam hal ini, NUJ Malaysia melalui Setiausaha Agungnya, V. Anbalagan beberapa bulan lepas telah mengeluarkan kenyataan media meminta pihak pengurusan di MSM mengambil langkah-langkah drastik bagi mengatasi kejatuhan akhbar-akhbar tersebut yang sangat membimbangkan.

NUJ Malaysia berpendapat bahawa kejatuhan edaran akhbar Utusan Malaysia disumbangkan atas beberapa faktor dan kebanyakannya disebabkan polisi yang ditetapkan oleh Ketua Pengarang dan Pengarang-pengarang Kanan.

Polisi-polisi yang dimaksudkan dan ia juga bertentangan dengan amalan etika kewartawanan.

1. Laporan berat sebelah: Utusan Malaysia hanya membuat laporan yang positif sekiranya ia melibatkan kerajaan dan Barisan Nasional (BN) tetapi laporan negatif ditumpukan kepada kerajaan negeri dan Pakatan Rakyat (PR).

2. Tidak memberi peluang kepada orang yang dituduh untuk menjawab dan disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia.

Dalam perkara ini, Utusan Malaysia melaksanakan polisi untuk tidak menyiarkan kenyataan balas yang dibuat oleh parti-parti politik atau individu apabila laporan negatif dibuat terhadap mereka.

Contoh terbaik ialah tidak disiarkan langsung kenyataan balas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz (gambar kiri) walaupun ruangan pojok Awang Selamat telah menghentam beliau.

3. Utusan Malaysia hanya menyiarkan berita-berita dan keperluan satu kaum sahaja menyebabkan pembaca-pembaca akhbar di Malaysia yang terdiri daripada masyarakat Cina, India dan bumiputera lain tidak berminat untuk membaca akhbar tersebut walaupun mereka mempunyai keupayaan untuk membaca dan menulis dalam Bahasa Malaysia.

Utusan Malaysia sebagai sebuah akhbar yang menggunakana bahasa Kebangsaan sepatutnya mengambil kira juga keperluan kaum-kaum lain.

4. Peningkatan jumlah pembaca Utusan Online juga membunuh minat pembaca-pembaca akhbar terutama di kalangan orang Melayu untuk membeli akhbar Utusan Malaysia kerana mereka berpendapat bahawa buat apa membeli sekiranya boleh mendapat percuma di internet.

Peningkatan pembaca Utusan Online juga tidak menyumbang pendapatan yang tinggi kepada Utusan memandangkan ia hanya mengharapkan kepada pendapatan dari iklan.

Sehubungan itu NUJ Malaysia meminta agar Ketua Pengarang dan Pengarang-Pengarang Kanan Utusan Malaysia untuk menghapuskan polisi yang tidak menguntungkan Utusan Malaysia.

Pelaksanaan berterusan polisi-polisi ini akan menyebabkan jumlah edaran akhbar Utusan Malaysia akan terus merundum pada masa-masa akan datang.

Tidak mustahil akhbar Utusan Malaysia juga akan menerima nasib seperti akhbar Utusan Melayu yang kini hanya menjadi sisipan mingguan dalam Utusan Malaysia.

Mungkin satu hari nanti akhbar Utusan Malaysia akan menjadi sisipan di dalam Kosmo yang merupakan satu lagi terbitan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad memandangkan edaran akhbar kompak itu semakin meningkat setiap tahun.

*Kenyataan media oleh Hata Wahari selaku Presiden NUJ Malaysia

1 ulasan:

CHE WANN berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.