Khamis, 23 September 2010

Gobala umum bertanding Naib Presiden PKR


GobalakrishnanOleh Qayum Rahman dan Nantha Kumar

PETALING JAYA: Ahli Parlimen PKR Padang Serai N Gobalakrisnan hari ini mengumumkan hasrat beliau untuk bertanding Naib Presiden PKR menjelang pemilihan kali ini.

Beliau dikatakan membuat keputusan sedemikian untuk cuba mewujudkan suasana yang adil dalam pemilihan PKR yang dilihat terjadinya banyak sobotaj secara berterusan dalam menindas calon-calon lain yang bertanding.

"Saya harap pengumuman ini adalah satu jalan terbaik untuk bersaing secara adil bagi jawatan naib presiden tanpa wujud calon yang akan cuba mensabotaj calon lain.

"Perjuangan reformasi bersama-sama pemimpin dan ahli parti perlu diperingatkan kembali agar tidak berlakunya pertelingkahan ataupun dengki untuk merebut jawatan tertinggi," katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, pertandingan pemilihan pemimpin dalam PKR ini sepatutnya tidak perlu wujudnya persaingan agresif hingga berlakunya penghinaan dan penindasan.

Gobala berkata, tindakan sabotaj dilihat berlaku di beberapa negeri di mana sesetengah calon yang bertanding mendapat senarai nama ahli untuk dihubungi bagi menyokong calon tersebut.

"Tindakan mendedahkan senarai nama kepada sesetengah calon adalah tidak adil dalam PKR dan cara ini bukannya cara perjuangan parti," tegas beliau.

Tidak puas hati

"Saya mendapat maklum balas dari ahli parti sendiri yang tidak puas hati terhadap pendedahan nama-nama mereka sehinggakan ada calon meminta mereka memilih calon tersebut," jelasnya.

Tambah beliau, jika berlakunya penindasan yang ketara akibat membezakan jangka masa seseorang ahli untuk bertanding, pemimpin baru yang berkaliber gagal untuk membantu mengukuhkan parti.

"Saya tidak menyokong tindakan sesetengah pemimpin PKR yang sanggup menghasut pemimpin lain untuk menyokong pencalonan mereka kerana mereka kononnya ahli lama dalam PKR.

"Perjuangan PKR yang sebenarnya adalah memberi peluang kepada semua pihak untuk menjawat jawatan tertinggi tanpa berpihak kepada mana-mana kroni," ujarnya.

Katanya, pencalonan beliau bagi jawatan Naib Presiden telah mendapat sokongan padu dari 10 cabang yang di antaranya cabang Subang, Kelana Jaya, Petaling Jaya Utara, Kota Raja, Rembau, Klang, Serdang, Rasa, Puchong dan Kepong.

"Walaupun kebanyakan calon yang bertanding bagi jawatan Naib Presiden adalah golongan India, tanggungjawab yang perlu dilaksanakan jika saya menang adalah untuk membantu semua kaum termasuklah Melayu dan Cina.

"Saya ingin maklumkan bahawa saya bertanding tanpa bergantung kepada mana-mana pemimpin tertinggi PKR untuk memenangi pemilihan kali ini,"katanya.

Tiada ulasan: