Khamis, 23 September 2010

ETP: Tidak ada transformasi sebenar


charles santiago new photo_250_220 Oleh Syed Jaymal Zahiid

KUALA LUMPUR: Program Transformasi Ekonomi (ETP) di bawah pentadbiran Perdana Menteri Najib Tun Razak yang dibentangkan kelmain kelihatan indah khabar dari rupa.

"Program ini nampak cantik dan indah tapi kekurangan usaha reformasi untuk memulihkan ekonomi lembab yang dihadapi oleh negara ini," kata Charles Santiago, ahli ekonomi dan juga Ahli Parlimen DAP Klang.

Santiago berkata, kebanyakan dari modus operandi projek-projek yang dikenalpasti di bawah ETP adalah tiruan dari pentadbiran Dr Mahathir Mohamad di mana ekonomi bergantung kuat kepada aktiviti-aktiviti rangsangan ekonomi.

"Apa yang kita lihat di bawah ETP ialah projek infrastruktur yang begitu besar nilainya untuk 10 tahun akan datang ketika mana kita sedang menghadapi masalah penawaran hartanah yang besar, yang tidak dapat dijual," katanya kepada FMT hari ini.

"Di mana transformasi? Tidak ada transformasi ekonomi kerana penggerak utama ETP yang sebenarnya telah dilakukan oleh Dr Mahathir ketika beliau menjadi perdana menteri," tambah beliau.

ETP, menerusi makmal 12 bidang utama ekonomi nasional telah mengenal pasti 131 pintu masuk projek (entry point project) untuk menghasilkan US$444 bilion (RM1.4 bilion) yang diperlukan dari sektor swasta untuk mentransformasi negara ini menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Santiago memberi contoh kebanyakan projek dikenal pasti ialah prasarana, seperti KL mass transit system, keretapi laju ke Singapura dan Pulau Pinang serta pembinaan kemudahan penyimpanan minyak berhampiran Singapura.

Selain dari kekurangan pasaran yang dipacu oleh inovasi di bawah ETP, Santiago berkata, persoalan timbul sama ada pihak swasta akan memberi respon yang baik terhadap langkah-langkah ini.

"Di mana bukti yang menunjukkan sektor swasta akan menjalankan projek-projek ini?" soal beliau.

Beliau berkata, sejak satu dekad yang lalu, pertumbuhan pelaburan sektor swasta tempatan dan luar negeri di negara ini hanya menunjukkan peningkatan sebanyak 3 hingga 4% sahaja.

Tidak ada reformasi institusi

Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu) berkata, ia telah mengenal pasti pelaburan sebanyak RM1.4 trilion untuk tempuh 10 tahun di mana 60% datang dari sektor swasta, 32% dari syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan 8% dari kerajaan.

Pemandu, yang diterajui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Jala, telah menjalankan kempen bagi merapatkan jurang di antara sektor awam dan swasta, berkata sintesis di antara kedua-dua sektor ini adalah penting untuk memacu ekonomi ke hadapan.

Tetapi Santiago tidak yakin ianya boleh dilaksanakan kecuali kerajaan sedar mengenai keperluan untuk mengurangkan saiz perbelanjaan sektor perkhidmatan awam yang terlalu besar dan birokrasi yang membuat para pelabur tidak berminat.

Laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF) baru-baru ini menunjukkan tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan telah jatuh dari tangga ke 17 kepada tangga ke 42.

WEF menyebut tentang perlunya reformasi ke atas institusi jika Malaysia ingin bersaing dengan negara jiran Thailand dan Indonesia.

Tidak ada satu pun inisiatif di bawah ETP yang mengambil kira cadangan dari laporan WEF ini, kata Santiago dan ini menjadi penghalang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Pembinaan kebolehan dan kemahiran

Santiago berkata Malaysia mesti lebih menumpukan perhatian kepada pembangunan modal insan dan memperkukuhkan pasaran domestik daripada bergantung kuat kepada teknologi dan pelaburan luar, yang memberi kesan buruk kepada sasaran negara ke arah ekonomi pacuan inovasi.

"Apa yang kita perlukan ialah reformasi sistem pendidikan di mana kita dapat melahirkan kebolehan dan kemahiran serta membina negara atas usaha ini," katanya.

Pentadbiran Najib terpaksa menerima hakikat bahawa kita kehilangan tenaga pekerja mahir termasuk pengaliran keluar modal dan berusaha dengan kuat untuk mengekalkannya di negara ini.

Bagaimanapun, para pemerhati, ekonomis dan pemimpin pembangkang, tetap tidak yakin segala usaha yang dibuat oleh pentadibran Najib dapat merangsang pertumbuhan ekonomi.

Kelmarin, Idris mengumumkan ETP bagi menjayakan cita-cita negara mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 di depan kira-kira 3,000 pengunjung yang terdiri daripada berbagai lapisan masyarakat.

ETP menurut beliau, boleh membantu Malaysia meningkatkan Pendapatan Kasar Nasional (GNI) sebanyak tiga kali ganda, dari RM660 bilion (2009) kepada RM1.7 trilion pada 2020.

Ini bermakna pendapatan per kapita GNI akan meningkat dari RM20,770 (US$6,700) kepada sekurang-kurangnya RM46,500 (US$15,000) bagi memenuhi taraf pendapatan tinggi, mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Bank Dunia.

Tiada ulasan: