Jumaat, 3 September 2010

Elakkan jalan raya jadi sungai maut, kata PM

BERNAMA


KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak hari ini, mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya memandu dengan cermat dan berhemah bagi mengelakkan lebuh raya dan jalan raya daripada menjadi “sungai maut”.

Dalam mesej bersempena Hari Raya Aidilfitri itu juga, Perdana Menteri menyeru agar semua rakyat Malaysia sentiasa mementingkan keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Ingatan Perdana Menteri itu disuarakan menerusi rakaman video khas “Mesej Perdana Menteri Bersempena Musim Perayaan Aidilfiri 2010” yang dilancarkan secara rasminya oleh Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor di Serdang hari ini.

Najib (gambar) turut berharap semoga semua pengguna jalan raya khususnya pemandu kenderaan dapat mengutamakan keselamatan sewaktu musim perayaan baik semasa pergi mahu pun pulang ke destinasi masing-masing.

“Displinkan diri kita dengan mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan, sesungguhnya sikap berhati-hati dapat megurangkan risiko kemalangan.

“Pulanglah ke kampung halaman masing-masing dengan rasa syukur dan gembira agar kita semua dapat merayakan Aidilfitri dengan gembira tanpa ada kemalangan yang mengorbankan nyawa berlaku dalam keluarga,” katanya.

Najib turut mengingatkan generasi muda, supaya mengutamakan keselamatan dengan memberi perhatian sepenuhnya ketika di jalan raya kerana mereka adalah aset penting negara.

Kepada rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam, Najib menyeru agar mereka bersama-sama merayakan hari raya dengan suasana penuh muhibbah, harmoni dan bersatu padu ke arah kemantapan 1 Malaysia.

Akhir sekali Perdana Menteri bersama anggota keluarga serta mewakili jemaah menteri mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa dan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada suluruh umat Islam semoga dapat merayakannya dengan penuh kegembiraan.

Dalam mesej itu Najib turut menyampaikan serangkap pantun:

Satu Malaysia Bersatu-padu,

Bersatu-padu penuh semangat,

Pesanan buat para pemandu,

Pandu cermat jiwa selamat.

Dalam pada itu, secara keseluruhan semua jalan-jalan raya persekutuan berada dalam keadaan baik serta sempurna untuk pengguna menjelang sambutan Aidilfitri ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor.

Beliau berkata bagi beberapa jalan yang dikenal pasti sebagai jalan sering berlaku kemalangan atau “black spot” sebelum ini, dan pihaknya dari masa ke semasa mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk meningkatkan kualiti jalan-jalan itu.

“Kementerian juga mengamalkan sikap terbuka, sekiranya ada jalan-jalan yang mungkin dirasakan dalam keadaan amat berbahaya, mereka boleh buat laporan secara terus kepada kementerian atau JKR supaya tindakan susulan dapat diambil,” katanya kepada pemberita di Serdang, dekat sini hari ini.

Beliau berkata apa yang sedikit membimbangkan ialah jalan-jalan negeri di Kelantan kerana kebanyakannya didapati tidak diselenggara dengan baik dan sempurna.

Terdahulu beliau melancarkan video khas “Mesej Daripada Perdana Menteri Sempena Hari Raya Aidilfitri 2010” dan penyerahan rasmi kereta peronda polis dan kenderaan kecemasan oleh PLUS Expressways Berhad (PLUS).

Sempena Hari Raya Aidilfitri PLUS menyerahkan 15 buah kereta peronda kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan enam buah ambulans kepada St John Ambulance dan Persatuan Bulan Sabit Malaysia.

Tiada ulasan: