Sabtu, 18 September 2010

Dulu Mahathir Guna Utusan Jatuhkan Pak Lah, Kini Hentam Najib Pula

Oleh Fazli Othman

SHAH ALAM - Media milik Umno, Utusan Malaysia yang digunakan sebagai agen untuk memfitnah Pakatan Rakyat kini menjadi 'senjata makan tuan' apabila akbar itu mula merasai peranannya semakin mengkucar-kacirkan parti itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata akhbar itu dilihat sedang digunakan sebagai platform untuk menghentam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usaha untuk menjatuhkannya.

Ujar beliau, bekas pemimpin Umno itu kini giat menggunakan Utusan untuk mengeluarkan kenyataan menyokong dan mengkritik antara satu sama lain termasuk satu ketika dahulu mendesak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi supaya melepaskan jawatannya.

"Saya melihat ada satu agenda tersembunyi yang didalangi oleh seseorang untuk menjatuhkan Najib. Ini satu krisis dalaman Umno dan saya tidak melihat tindakan akhbar itu sebagai hak kebebasan bersuara.

"Semua sedia maklum bahawa Tun Mahathir mempunyai peranan di Utusan untuk melakukan gerakan seperti mana yang dilakukan terhadap Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) satu ketika dahulu.

"Tun Mahathir sewaktu krisisnya dengan Pak Lah mengatakan bahawa (Timbalan Perdana Menteri) Muhyiddin Yassin lebih layak mengambil tempat Pak Lah kerana dia lebih berani daripada Najib untuk mendesak Pak Lah lebih cepat melepaskan jawatan," komen Ahli Parlimen Pokok Sena itu dalam laman blognya.

Katanya lagi, Abdullah pula menganggap Muhyidin merupakan orang yang menikamnya dari belakang dengan kenyataan yang dibuat di Singapura, dengan menggunakan negara jiran itu untuk mengkrtitik kepimpinan beliau.

Sehubungan itu Mahfuz berkata kini jelas kepada rakyat khususnya orang Melayu untuk menilai baik dan buruk Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang kononnya membela nasib orang Melayu.

"Sekarang ini terserah kepada orang Melayu untuk membuat penilaian bahawa nasib kaum Melayu bukan menjadi satu agenda kepada mana-mana pihak untuk dijadikan landasan perjuangan tapi hanya sebagai alat untuk politik dalaman Umno.

"Saya tidak nampak Perkasa membela nasib orang Melayu keseluruhannya, hanya sekadar merebut peluang di kalangan pemimpin mereka atas nama Melayu," kata beliau lagi.

Tiada ulasan: