Sabtu, 25 September 2010

Dr Mahathir di Pasir Mas esok di sebalik polemik Perkasa-Umno-BN



Seorang penduduk tempatan menyaksikan kain rentang yang mempromosikan Program Perhimpunan Melayu Perkasa Kelantan di Stesen Keretapi Pasir Mas. - Gambar oleh Jack Ooi
PASIR MAS — Di sebalik polemik kerjasama Perkasa dengan Umno-BN, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual berada di Pasir Mas, Kelantan petang esok dan dinanti-nantikan oleh penduduk setempat.

Esok, Dr Mahathir akan tiba di Pasir Mas untuk menyertai Perhimpunan Melayu Perkasa Kelantan di pekarangan Stesen Keretapi Pasir Mas.

Program yang bertemakan “Perpaduan Melayu Teras Perpaduan Rakyat Malaysia” itu merupakan anjuran Perkasa dan juga Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali.

Dalam SMS kepada The Malaysian Insider baru-baru ini, Ibrahim yang juga Presiden Perkasa berkata, beliau dan bekas presiden Umno itu akan menghuraikan pelbagai kemulut politik semasa dan isu-isu penghinaan terhadap Islam, hak orang Melayu dan pribumi serta pentingnya perpaduan Melayu-Islam.

“Insya-Allah 20,000 orang akan hadir, 3,000 pemuda bermotor akan sambut Dr Mahathir... ada kejutan, kehadiran amat dihargai,” kata beliau.

Ini kali pertama Dr Mahathir hadir di Pasir Mas selepas bersara pada Oktober 2003.

Baru-baru ini pemimpin Umno-BN terlibat dalam perang kenyataan dengan Ibrahim berhubung kenyataan pemimpin-pemimpin perikatan itu bahawa BN tidak harus menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan itu kerana bimbang dasar perjuangannya boleh menghakis sokongan dalam pilihan raya umum ke-13.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak minggu lalu berkata pihaknya tidak mahu meminggirkan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan.

Dalam kenyataan terbaru semalam kepada Umno Online, Dr Mahathir berkata, orang Melayu akan kehilangan kuasa jika Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pemerintahan negara ini.

Bekas perdana menteri mendakwa apa yang dinyatakan itu bukan satu igauan tetapi telah menjadi kenyataan kerana perkara itu sudah pun berlaku di negeri diterajui PR walaupun ketua pentadbiran di negeri itu di ketuai orang Melayu.

Sebelum ini Dr Mahathir pernah mengatakan bahawa orang Melayu akan menjadi kaum minoriti dari segi politik jika PR berkuasa.

Melahirkan pandangannya kepada Umno Online hari ini, bekas presiden Umno ini merujuk kepada bekas menteri besar Perak Datuk Ser Ir Mohd Nizar Jamaluddin selepas pilihan raya umum ke-12.

Program esok dijadual berlangsung dari 3 hingga 6 petang.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Hasan Ali, 63, berkata kedatangan tokoh negarawan itu ke Pasir Mas merupakan satu perkara yang membanggakan.

“Saya rasa ini kali pertama beliau (Dr Mahathir) datang ke sini (Pasir Mas) selepas tidak menjadi perdana menteri.

“Bagi saya ia memang satu perkara yang membanggakan dan sebagai penduduk di Pasir Mas saya amat mengalu-alukan kedatangan beliau,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Tambahnya, Dr Mahathir adalah seorang pemimpin yang berkebolehan dan mesra rakyat.

“Sepanjang beliau menjadi pemimpin negara banyak perubahan yang dilakukan.

“Selain itu, beliau juga mesra dengan rakyat sebab itu saya tidak sabar untuk menemui beliau esok,” katanya.

Bagi Siti Rohmah Abdullah, 60, pula, peluang menemui Dr Mahathir tidak akan dilepaskan kerana bukan selalu dapat menemui bekas perdana menteri keempat itu.

“Saya memang tidak akan lepaskan peluang ini.

“Bukan selalu beliau datang ke sini, lagipun sebagai rakyat saya juga mahu berjumpa beliau yang selama ini telah membawa perubahan yang besar kepada negara,” katanya.

Khadijah Senik, 38, berkata Dr Mahathir merupakan tokoh pemimpin negara yang berjaya sepanjang berkhidmat sebagai perdana menteri.

“Saya melihat beliau sebagai seorang perdana menteri yang berjaya membawa perubahan kepada negara.

“Bahkan saya gembira beliau sudi datang ke daerah ini dan sudah pasti saya juga akan sama-sama hadir memberikan sokongan kepada beliau esok,” katanya.

The Malaysian Insider difahamkan seramai 20,000 orang akan hadir ke program tersebut.

Tiada ulasan: