Jumaat, 3 September 2010

Didakwa Muslim: Pemimpin dipecat MIC minta Jais bersihkan nama


KUALA LUMPUR — Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sedang menyiasat aduan bekas ahli jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC, G Kumar Aamaan, yang meminta namanya dibersihkan daripada dakwaan 'fitnah' sebuah akhbar Tamil bahawa beliau pernah memeluk Islam.

Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan Jais, Nurhamizah Othman berkata pihaknya telah memulakan siasatan sebaik sahaja menerima surat daripada Kumar semalam.

"Kita sudah terima surat tersebut dan Pengarah Jais (Datuk Mohammed Khusrin Munawi) sudah meneliti perkara ini.

"Beliau juga sudah mengarahkan Bahagian Akidah Jais untuk mengambil tindakan dan menjalankan siasatan terperinci," kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Beliau berkata, siasatan tersebut akan meliputi kesemua aspek termasuk mengambil keterangan daripada Kumar sendiri.

"Bahagian Akidah akan siasat sama ada beliau (Kumar) benar-benar memeluk Islam atau tidak," katanya lagi.

Nurhamizah berkata dalam surat yang bertarikh 2 September itu meminta Jais mengambil tindakan tegas terhadap akhbar Tamil Nesan kerana memainkan isu dan sentimen keagamaan.

Dalam surat itu, Kumar mendakwa akhbar tersebut memainkan sentimen itu terhadap diri beliau sejak empat bulan lalu iaitu sejak dipecat daripada MIC.

Selepas dipecat beliau bersama tiga pemimpin yang turut dibuang dari MIC melancarkan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS), tindakan yang mendapat tentangan daripada kumpulan yang menyokong kepimpinan Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Kumar menegaskan, beliau adalah penganut Hindu, bukannya Islam seperti yang didakwa dalam akhbar tersebut.

"Ingin saya tegaskan bahawa saya sejak lahir adalah penganut agama Hindu, yang beragama Islam hanya ayah saya... itupun selepas dia menceraikan ibu kandung saya sebelum dia berkahwin dengan seorang wanita beragama Islam.

"Akhbar tersebut sengaja mempermainkan isu ini kerana mahu menjejaskan imej dan kerjaya saya.

"Sejak laporan yang dikeluarkan itu, ramai kawan yang beragama Hindu seolah-olah memandang serong terhadap saya," katanya.

Akhbar Tamil Nesan dimiliki oleh keluarga Samy Vellu.

Kumar berkata, selain Jais beliau turut membuat laporan polis terhadap akhbar tersebut dan turut menulis kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk diambil tindakan ke atas penerbitan berkenaan.

"Saya sudah buat laporan polis pada 1 September lalu terhadap akhbar Tamil Nesan kerana membuat laporan palsu terhadap diri saya.

"Saya juga sudah serahkan surat kepada KDN untuk diambil tindakan tegas terhadap akhbar tersebut," katanya.

Beliau turut menyerahkan surat kepada sebuah pertubuhan agama Malaysia Hindu Sangam untuk mengambil tindakan.

"Disebabkan, imej saya terjejas teruk, saya mengambil keputusan untuk saman akhbar Tamil Nesan kerana menyebarkan cerita fitnah tentang diri saya," katanya.

Dia akan menyerahkan surat tuntutan kepada Tamil Nesan Isnin ini. — Reuters

Tiada ulasan: