Khamis, 23 September 2010

Demonstrasi anti-Malaysia kembali, kali ini kerana isu pembantu rumah

BERNAMA

JAKARTA – Setelah menyepi sejak dua hari menjelang Aidilfitri baru-baru, kumpulan aktivis masyarakat Indonesia pada Rabu kembali mengadakan demonstrasi anti-Malaysia dengan kali ini membawa isu pembantu rumah dari negara itu yang diseksa dan diperkosa oleh majikan Malaysia.

Dalam cuaca hujan yang lebat dan renyai hari ini, demonstrasi berkonvoi 150 motosikal itu membabitkan kira-kira 300 penunjuk perasaan dari beberapa kumpulan aktivis yang menamakan diri “aliansi pemuda pemudi anti-Malaysia” dengan didominasi anggota kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera).

Dua lagi kumpulan yang turut serta ialah Gerakan Pemuda Daerah dan Relawan Pro Demokrasi.

Sambil membawa bendera Indonesia serta bendera kumpulan masing-masing serta sepanduk “Ganyang Malaysia”, mereka membunyikan hon motosikal dan meneria “Ganyang Malaysia” di hadapan kediaman Duta Besar Malaysia di Patra Kuningan dan di hadapan Kedutaan Besar Malaysia, Kuningan, Jakarta Selatan.

Kedua-dua tempat itu dikawal ketat pasukan Polis Indonesia. Demostrasi dimulai pukul 1.30 petang di hadapan Kediaman Duta Besar Malaysia dan pukul 2 petang di hadapan Kedutaan Besar Malaysia dan berlangsung selama 10 minit di kedua-dua tempat itu.

Dalam pidato masing-masing, mereka mengutuk perbuatan penyeksaan dan pemerkosaan yang dilakukan terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan di Malaysia dan meminta Duta Besar Malaysia dan rakyat Malaysia meninggalkan Indonesia dalam tempoh dua hari kerana menganggap perbuatan Malaysia yang keterlaluan.

Mereka kemudian meneruskan perjalanan ke kompleks beli-belah Senayan City untuk melakukan tindakan usir atau “sweeping” rakyat Malaysia di situ namun polis telah menghadang mereka kira-kira 100 meter dari pintu utama ke kompleks itu.

Penunjuk perasaan kemudian cuba berunding dengan polis agar membenarkan 65 anggota masuk ke dalam kompleks dan melakukan “sweeping” terhadap warga Malaysia yang mereka yakini berada di dalam, namun permohonan mereka tidak dilayan.

“Kami bukan ingin mencuri, kami bukan ingin mengambil barang di mall tapi kami hanya ingin mengusir warga Malaysia,” kata Mustar Bona Ventura, coordinator Bendera.

Kumpulan Bendera yakin Senayan City merupakan simbol yang tepat untuk mewakili Malaysia dan percaya warga Malaysia sering berkunjung ke tempat itu untuk berbelanja kelengkapan sehari-hari.

Isu penderaan pembantu rumah Indonesia bernama Win Faidah oleh majikannya itu turut dikutuk oleh Malaysia.

Menteri Luar Malaysia dalam kenyataan di Putrajaya pada Rabu menegaskan bahawa kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk penderaan terhadap mana-mana pekerja, tanpa mengira kewarganegaraan atau sektor pekerjaan mereka.

Justeru itu kerajaan serta rakyat Malaysia amat sedih dan terharu di atas kes penderaan terbaru, membabitkan seorang pembantu rumah dikenali Win Faidah yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia pada 17 Sept lepas, katanya.

Pembantu rumah berumur 26 tahun itu, dikatakan telah didera secara fizikal dan seksual sejak lebih empat bulan oleh majikannya dan berikutan itu sepasang suami isteri telah ditahan polis pada 19 Sept lalu bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Sebelum memulakan demonstrasi itu, peserta berkenaan berkumpul di hadapan pejabat Bendera di Jalan Diponegoro, yang merupakan pejabat lama Parti Demokrasi Indonesia – Perjuangan (PDI-P) iaitu parti yang dipimpin bekas Presiden Megawati Soekarnoputri.

Beberapa anggota kumpulan Bendera sebelum ini telah bertindak melempar najis manusia ke dalam kawasan Kedutaan Besar Malaysia dalam salah satu demonstrasi sebelum ini mengenai isu penangkapan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia oleh Polis Marin Malaysia di sempadan perairan Malaysia-Indonesia berhampiran Kepulauan Riau.

Sebahagian daripada anggota Bendera turut mengotorkan bendera Malaysia dengan najis manusia selain memijak-mijak Jalur Gemilang semasa berdemonstrasi ketika itu.

Para pelaku yang mencemarkan kawasan Kedutaan Besar Malaysia serta Jalur Gemilang dengan najis manusia itu sehingga sekarang tidak dikenakan apa-apa tindakan oleh pihak berkuasa Indonesia.

24 ulasan:

Anak Sabah berkata...

Bagaimanalah kita boleh menjaga hubungan baik antara negara kita dengan Indonesia. Baik kita jangan bergantung sangat kepada pekerja asing.

mandau berkata...

sebelum ini rkyt indonesia melakukan demontrasi di kedutaan malaysia kerara kes penahanan 3 penguatkuasa marin indonesia, kini,kes penderaan pembantu rumah indonesia oleh majikan malaysia telah menyemarakkan lagi kemarahan rkyat indonesia. ini menjejaskan lagi hubungan Malaysia- Indonesia. hal ini perlu diselesaikan dgn cara baik.

madd berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
madd berkata...

demonstrasi anti-Malaysia tidak wajar dilakukan kerana tiada keperluan untuk itu. mereka sepatutnya bersikap rasional kerana hal ini boleh ditangani tanpa perlu melakukan demonstrasi.

tindakan perlu dikenakan ke atas majikan yang melakukan penderaan terhadap pembantu rumah yang terbabit.

Hamdan Hadillah berkata...

baru saja reda dari demontrasi berkenaan tangkapan pegawai marin indonesia, ini mula lagi dengan demontrasi baru lagi yang berkenaan pembantu rumah Indonesia didera. Harap kerajaan cuba untuk mencari penyelesaian bagi menangani masalah ini.

Jason berkata...

Lebih baik kalau Malaysia tidak bergantung sangat dengan pekerja asing. Terlampau banyak masalah timbul.

Jason berkata...

Saya rasa tidak patut kumpulan aktivis masyarakat Indonesia tersebut membuat demonstrasi. Sebarang masalah yang mereka tidak puas hati boleh dibawa bincang secara rasional untuk mengelakkan hubungan Malaysia dan Indonesia daripada retak.

langsat berkata...

Demonstrasi anti-malaysia sepatutnya tidak berlaku kerana hubungan kedua-dua negara ini adalah sangat baik. Cara penyelesaian yang baik ialah dengan berbincang dan sama-sama mencari penyelesaian yang terbaik.

langsat berkata...

Demonstrasi anti-malaysia yang membabitkan 300 penunjuk perasaan hanya akan menjejaskan hubungan kedua-dua negara ini. Diharap pihak berkuasa indonesia dapat menangani perkara ini dengan segera. Cubaan untuk menghalau rakyat malaysia yang berada di indonesia adalah hanya mementingkan diri sendiri sahaja dan memalukan kerana mereka tidak sedar bilangan warga indonesia yang berada di malaysia.

langsat berkata...

Kesemua penunjuk perasaan ini harus dihalang dari melakukan demonstrasi dan dikenakan tindakan undang-undang, siasat dan dsb.

Tanpa Nama berkata...

kumpulan penunjuk perasaan ini sudah jelas menunjukkan bahawa mereka menolak kaedah diplomatik dan mendesak ingin melancarkan perang. jika kaedah diplomatik tidak memberikan kesan, lebih baik kerajaan Malaysia mengambil langkah mencegah iaitu mengarahkan rakyat Malaysia yang berada di Indonesia pulang ke negara ini dan begitu juga rakyat Indonesia yang berada di Malaysia. putuskan hubungan diplomatik dan sebarang kerjasama ekonomi mahupun sosial dengan negara Indonesia.

Tanpa Nama berkata...

jangan biarkan isu ini berlarutan lebih lama kerana dikhuatiri demonstrasi yang dilancarkan oleh rakyat Indonesia ini akan ditafsirkan oleh negara2 lain sebagai satu bentuk ancaman kepada Malaysia yang secara tidak langsung boleh menakut2kan pelabur asing untuk melabur di malaysia.

Tanpa Nama berkata...

hubungan antara Malaysia - Indonesia semakin rengang kerana hal ini. demontrasi penduduk indonesia di kedutaaan Malaysia semakin menjadi jadi.hal ini amat membimbangkan, harap hal ini akan reda tak lama lagi.

Unknown berkata...

Belum pun reda masalah najis dipalit di Kedutaan Msia, timbul lagi satu isu besar. Kenapa pihak media tidak membesar-besarkan kesalahan banduan-banduan Indonesia di Malaysia? Sebaliknya orang gaji Indonesia di pukul dan rogol jadi isu besar. Tidak pula hal lelaki Indonesia merogol wanita2 di sini diwar-warkan sedemikian rupa.

samm berkata...

demonstrasi sebenarnya tidak perlu dilakukan. harap pekara ini tidak akan berlaku lagi.

Mahsiran berkata...

Ini telah membuatkan rakyat Indonesia bersa begitu marah dengan apa yang berlaku. Pembantu rumah yang didera oleh majikan ini sentiasa berlaku. Kepada pihak berkuasa pastikan langkah untuk mencegah perkara ini berlaku lagi.

Unknown berkata...

Malaysia bukan saja mengalu-alukan kedatangan warga indonesia dan didakwa orang banyak memberi mereka kewarganegaraan.
Lihat apa yang berlaku di sana, kesetiaan mereka boleh dipercayai atau tidak?

captain berkata...

Mungkin ramai dari kita yang fikir mereka serumpun dengan kita, hakikatnya tidak.

Unknown berkata...

Demonstrasi tidak dapat menyelesaikan masalah terutamanya cara orang Indonesia membuat demonstrasi. Reputasi mereka turut terjejas.

Paquin berkata...

Asyik2 demo.. aish tak penat ka dorang ni???

Paquin berkata...

Saya faham kenapa rakyat Indonesia kembali tunjuk perasaan. Tapi yang saya tak faham kenapa nak libatkan rakyat Malaysia yang tak bersalah. Kalau btl marah, bah hentamlah si pelaku; bukan hentam orang lain pula!!!

Paquin berkata...

Yang majikan tu buat macam tu pula kenapa??? aisk geram betul sama manusia mcm ni!!
Tengok aku pun emosi sudah! hehe

Paquin berkata...

Saya bagi cadangan lah, haramkan ja pengambilan orang gaji warga asing. hehehe
Kalau mahu juga orang gaji bah, ambil lah yang ada mykad. Senang cerita. hihi

Paquin berkata...

Saya harap isu penderaan tu tak berulang lagi. Pastikan isu tu diselesaikan dengan baik dan kenakan hukuman yang setimpal supaya jadi pengajaran pada semua pihak.