Jumaat, 3 September 2010

Datuk Seri Najib Jangan Ajar Ketam Berjalan Betul

Ustaz Idris Ahmad

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menganggap Datuk Seri Najib Tun Razak seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul, supaya semua media mencontohi media perdana yang melaporkan dengan fakta, berbeza dengan media baru. PAS cukup sangsi dengan kenyataan Datuk Najib mengenai kenyataan beliau dengan mendakwa media perdana pada hari berada di dalam landasan yang betul, manakala yang salah ialah media baru seperti blog, twiter, face book dan sebagainya.

PAS yakin inilah keresahan yang melanda di kalangan pemimpin kerajaan pada hari ini yang cuba hendak meletakkan media baru di kandang orang salah supaya rakyat sangsi terhadap pemberitaan media baru.

Datuk Seri Najib harus fikir kenapa rakyat lebih percaya media baru daripada media perdana. Sebabnya rakyat pada hari ini sudah tahu membezakan antara kaca dan permata.

Sebaik sahaja satu laporan yang dibuat oleh media perdana, maka selang beberapa minit sahaja laporan itu diperbetulkan kembali dengan fakta dan gambar. Contoh yang terbaru sikap yang ditunjukkan oleh media ayam daging Umno ketika melaporkan apa yang berlaku di Surau Al-Huda Kajang Sentral pada 22hb Ogos 2010.

Media ini melaporkan YB Teo Nie Ching ahli parlimen Serdang sedang memberi tazkirah dan memberi bantuan kepada ahli PAS. Apa yang berlaku ialah YB Teo sedang memberi taklimat mengenai skim pendidikan kerajaan Selangor dan beliau memberi bantuan kepada surau sebanyak RM1000.

Ini hanya satu contoh fitnah yang jahat untuk memburukkan PAS dan YB daripada DAP. Apakah ini yang Datuk Seri Najib suruh media baru tiru cara laporan media perdana yang penuh dengan fitnah.

Sikap yang ditunjukkan oleh media perdana mereka tidak memperdulikan soal saman malu dan balasan Allah SWT, yang penting ialah dapat memuaskan golongan yang menzalimi dan menipu rakyat.

Tujuan laporan yang berupa fitnah mereka buat supaya persepsi rakyat terhadap PAS jahat. Mereka tahu proses undang-undang memakan masa yang lama, setelah fikiran rakyat telah dirosakkan begitu lama.

Parti Islam Se-Malaysia PAS bukan minta media ini memuji PAS dan Pakatan Rakyat dalam pemberitaan mereka. Kalau pun tidak mahu melaporkan apa yang PAS buat, jangan pula sanggup melaporkan berita fitnah terhadap PAS.

Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Tiada ulasan: