Sabtu, 11 September 2010

'Cilibangi’ cili terpedas UKM akan kembali ke pasaran

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Cilibangi, yang didakwa cili terpedas di Malaysia yang dihasilkan oleh saintis genetik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1987, akan menemui penggemarnya kembali selepas hilang dari pasaran.

Cili yang rasanya amat pedas tetapi lazat ini dihasilkan oleh pakar pembiakbakaan, Prof Madya Dr Ahmed Mahir Mohamed Mokhtar Bakri, 63, tetapi telah hampir hilang berikutan persaraannya dari UKM pada 2003.

“Selepas bersara dari UKM, saya berkhidmat di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Beberapa pelajar sarjana saya di sana telah menjalankan kajian terhadap Cilibangi. Tetapi cuma di peringkat makmal ujian sahaja,” kata Dr Ahmed Mahir yang dipetik dalam Portal Berita UKM terbitan pusat perhubungan awam universiti itu.

Beberapa pekebun termasuk seorang di Kuang, Selangor telah cuba menanam cili tersebut tetapi kisah Cilibangi hampir dilupakan kecuali beberapa botol biji benihnya yang masih disimpan oleh saintis tersebut di dalam peti sejuk.

Selepas meninggalkan UKM, Ahmed Mahir hampir membawa Cilibangi ke Kanada untuk menjalin kerjasama dengan dua rakannya mengusahakan projek rempah ratus untuk dieksport.

Namun panggilan tanah air lebih kuat bagi saintis kelahiran Ipoh ini. Ahmed Mahir kini kembali semula berkhidmat di UKM sebagai Ketua Pegawai Teknologi di UKM Technologi Sdn Bhd dan beliau akan memberi tumpuan untuk menghidupkan kembali projek pengkomersialan Cilibangi.

Beliau akan membawa semula cili ini ke pasaran dan akan memberi saingan kepada cili yang semakin digemari ramai, Cili Kulai. Jika beliau Berjaya membiakkan Cilibangi, ia akan membantu negara mengurangkan import cili yang dianggarkan RM95 juta setahun.

Selain rasanya yang pedas berbanding jenis cili lain, pokok Cilibangi tumbuh tegak dan tahan penyakit. Kesemua enam varieti Cilibangi boleh berbuah sepanjang tahun.

Ahmed Mahir berkata Cilibangi: “memberi pulangan lumayan kepada petani kerana ia berbuah pada masa yang sama dan boleh dituai menggunakan mesin.”

Projek Cilibangi yang bermula di UKM pada 1987 adalah lebih kepada percubaan dan hanya dijual kepada kakitangan UKM sejak 1995 serta sebahagian benihnya diedarkan kepada petani miskin untuk membantu golongan itu.

“Kami telah berjaya melalui fasa itu,” kata Ahmed Mahir dan menambah pendekatan sekarang adalah untuk mengkomersialkan penemuan penyelidikan.

Ahmed Mahir telah diberi sebidang tanah seluas 0.2 hektar dalam kampus tersebut untuk membiakkan Cilibangi kerana ia tidak boleh dibiakkan secara tisu kultur tetapi hanya boleh ditanam menggunakan bijinya.

Beliau berharap mendapat sebidang tanah yang rata untuk membolehkan traktor menjalankan kerja-kerja penuaian. Sebuah mesin yang boleh memetik cili tanpa merosakkan daun pokok juga kini sedang diusahakan.

“Kelebihan mesin ini adalah ia berupaya memetik cili dari setiap pokok untuk memastikan ia akan menghasilkan buah yang lebih banyak untuk musim akan datang,” kata Ahmed Mahir.

Jika rancangannya berjalan lancar, setiap 0.4 hektar tanah boleh ditanam dengan 8,000 pokok Cilibangi dengan setiap pokok boleh menghasilkan tiga kilogram cili setiap tiga bulan untuk empat kali tuaian dalam setahun.

Iaitu secara teori, ia berjaya menghasilkan kira-kira 96,000kg daripada hanya satu ekar tanah setiap tahun, untuk empat kali tuaian.

Tiada ulasan: