Sabtu, 4 September 2010

Boleh Guna Lorong Kecemasan Yang Dibenarkan Di Lebuhraya PLUS

BERNAMA

SUBANG JAYA: Pengguna Lebuhraya PLUS yang akan pulang ke kampung dibenarkan menggunakan lorong kecemasan di beberapa kawasan yang dikenal pasti pada tarikh yang ditetapkan bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Expressways Berhad (PLUS) Nik Airina Nik Jaffar berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa kawasan di lebuh raya yang kerap berlaku kesesakan yang teruk ketika menjelang Aidilfitri.

"Namun bukan semua lorong kecemasan terlibat. Hanya lorong kecemasan yang telah dikenal pasti boleh digunakan bagi melancarkan perjalanan trafik dan lorong-lorong tersebut akan dikawal oleh anggota polis," katanya dalam sidang media, Sabtu.

Nik Airina berkata lorong kecemasan yang terlibat pada 9 Sept hingga 11 Sept adalah dari Nilai ke Seremban arah ke selatan, dari Tapah ke Gopeng dan dari Berang ke Sungkai, masing-masing arah ke utara.

Beliau berkata manakala pada 12 Sept, 16 Sept dan 19 Sept, pengguna boleh menggunakan lorong kecemasan di Simpang Pulai ke Gopeng, Gunung Tempurung ke Tapah, Bidor ke Bikam dan Port Dickson ke Seremban (semuanya arah ke utara).

Katanya, seramai 130 anggota PLUS akan meronda di sepanjang lebuhraya bagi memberi bantuan pantas kepada pengguna lebuh raya.

Pengguna boleh mendail 1800-88-0000 untuk mendapat bantuan dan mendapatkan info trafik terkini.

"Dijangka pertumbuhan trafik sebanyak 30 peratus sebelum dua hari menyambut hari raya malah trafik pada malam tadi meningkat sebanyak 10 peratus tetapi masih bergerak dan berjalan lancar," kata Nik Airina.

Sementara Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Sollah Mat Hassan berkata pada 8 dan 9 Sept, lori berat tidak dibenarkan menggunakan Lebuhraya PLUS ke arah utara dan selatan.

Manakala pada 18 dan 19 Sept, lori berat tidak dibenarkan melalui lebuhraya PLUS menghala ke arah Kuala Lumpur. Ini bagi mengurangkan masalah kesesakan lebuh raya tersebut," katanya.

Beliau berkata JPJ juga tidak akan membuat sebarang sekatan jalan raya di lebuhraya PLUS tetapi pesalah hanya akan ditahan kira-kira satu kilometer selepas melakukan kesalahan trafik hasil pemantauan anggota penguatkuasa yang menyamar di lokasi-lokasi ditetapkan.

"Kita tidak mahu buat sekatan jalan raya kerana khuatir ianya hanya akan memburukkan lagi keadaan. Lebuh raya akan menjadi lebih sesak justeru kita ambil langkah terbaik bagi mengurangkan permasalahan ini," katanya.

Tiada ulasan: