Khamis, 9 September 2010

BN yakin kekalkan Sarawak tidak kira PRU diterajui Taib atau sebaliknya


KUALA LUMPUR — Barisan Nasional (BN) yakin akan mengekalkan penguasaan Sarawak dalam pilihan raya negeri itu tidak kira sama ada Tan Sri Abdul Taib Mahmud kekal menerajui ikatan 13 parti politik itu ataupun sebaliknya, kata Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Bagaimanapun Tengku Adnan mengingatkan bahawa pemimpin-pemimpin komponen BN di Sarawak perlu peka dengan sentimen di luar perikatan itu dan menilai situasi politik dengan rapi.

“Sama ada beliau (Taib) berada di sana (menerajui negeri) ataupun tidak, ia tidak akan membawa apa-apa perbezaan, BN tetap akan menang dalam pilihan raya negeri akan datang.

“Tetapi sebagaimana anda tahu, baru-baru ini PBB telah keluar dengan kenyataan bahawa beliau harus kekal terajui negeri (dalam pilihan raya negeri),” kata Tengku Adnan dalam temu bual eksklusif dengan The Malaysian Insider.

“Bukannya bagi parti (BN) yang perlu mengatakan demikian,” kata beliau sambil menambah, BN mahu mengekalkan majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Mandat semasa kerajaan negeri akan berakhir Julai 2011. Ramai menyebut bahawa pilihan raya umum negeri akan diadakan selepas sambutan Aidilfitri ataupun awal tahun depan.

Pada Ahad lalu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mahu Taib (gambar) kekal sebagai presiden parti tersebut dan Ketua Menteri bagi memastikan kestabilan politik serta pembangunan Sarawak secara berterusan.

Taib selaku Ketua Menteri, mendapat sokongan penuh semua 71 ketua cawangan yang diwakili kaum bapa serta sayap pemuda dan wanita PBB iaitu anggota majlis tertinggi PBB, melalui ikrar taat setia dan usul yang dibuat pada mesyuaratnya yang dipengerusikan sendiri oleh beliau sendiri.

Pemimpin berusia 74 tahun itu merupakan Ketua Menteri Sarawak paling lama berkhidmat iaitu selama 29 tahun sejak menyandang jawatan tersebut pada 26 Mac 1981.

Taib didakwa berhadapan dengan tekanan daripada sebuah lagi komponen BN Sarawak, Parti Progresif Bersatu Sarawak (SUPP) agar meletakkan jawtaan atas alasan tidak popular di kawasan-kawasan bandar yang ditandingi oleh parti-parti mewakili masyarakat Cina.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno menekankan, pemimpin-pemimpin persekutuan tidak akan campur tangan dalam keputusan akhir yang bakal dibuat Taib.

“Di Sarawak, saya percaya bahawa Pehin Sri Taib Mahmud akan menilai apa yang rakyat sebenarnya mahukan. Beliau juga negarawan, saya percaya beliau tidak mahu musnahkan Barisan Nasional.

“Terpulang kepada beliau untuk memutuskan, sebagaimana anda tahu kami tidak suka mencampuri hal ehwal anggota komponen kami,” katanya.

SUPP baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk melahirkan kekhuatiran mengenai isu-isu yang memberi kesan ke atas BN negeri.

Presiden SUPP Tan Sri George Chan yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak berkata, beliau menerima sokongan kuat daripada Najib dan akan bertemu dengan Taib dalam waktu terdekat.

Bagaimanapun Chan tidak menjelaskan dengan mendalam hasil perbincangan dengan Najib yang juga Pengerusi BN.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan memberitahu pucuk kepimpinan BN sedar akan apa yang berlaku di Sarawak.

“Kami tahu situasi di sana. Saya percaya Pengerusi dan Perdana Menteri sudah bercakap dengan Ketua Menteri. memaklumkan situasi sebenar di Sarawak dan apa yang kami perlu dilakukan dalam usaha mahu mengekalkan kuasa (di Sarawak),” kata Tengku Adnan.

Pada 27 Ogos lalu, Najib berkata beliau akan mengadakan perbincangan terperinci dengan Taib berhubung hasrat Ketua Menteri Sarawak itu untuk berundur daripada jawatan politik.

Najib berkata, sebarang keputusan yang dibuat hendaklah berdasarkan semangat setiakawan antara BN dan PBB.

Katanya PBB merupakan rakan setia BN yang telah menyumbang kepada kejayaan BN di Sarawak dan tunggak kerajaan BN negeri itu.

Katanya, beliau akan berbincang dari hati ke hati dengan Ketua Menteri Sarawak itu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Ketua Menteri yang paling lama berkhidmat berkata beliau tidak dapat membuat keputusan mengenai perkara itu kerana ia perlu dibincangkan dan diluluskan oleh pucuk pimpinan.

Taib yang menjadi presiden PBB sejak 1981 dan pengerusi BN Sarawak dilaporkan berkata, beliau sebenarnya mahu berundur daripada politik pada 2006 tetapi ramai di kalangan dalam parti menentang hasratnya itu dan akhirnya beliau

memutuskan untuk tidak bersara.

Penganalisis berpendapat bahawa BN tidak akan mengulangi kemenangan cemerlang yang dicapai masa-masa lalu termasuk pada 2006.

Justeru, Tengku Adnan juga menafikan cakap-cakap bahawa SUPP akan meninggalkan BN menjelang pilihan raya umum negeri.

“Situasi (masalah) dengan SUPP dengan ialah mereka merasakan mereka tidak lagi efektif di negeri ekoran beberapa kekurangan di negeri itu sendiri.

“Tetapi mereka tidak tinggalkan BN, mereka masih satu komponen BN Sarawak dan wakil rakyat mereka masih dalam Kabinet Sarawak,” kata Tengku Adnan.

“Kami merasakan mereka akan kekal sebagai komponen BN Sarawak, tidak kisah apa jua perasaan mereka dan prestasi mereka dalam pilihan raya lalu,” katanya lagi.

BN tewas dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu Mei lalu.

Tengku Adnan juga berkata parti itu dan masyarakat Cina akan tetapi diwakili dalam kerajaan meskipun jika tidak mencatatkan prestasi yang baik dalam pilihan raya negeri akan datang.

“Kami sudah lama berkahwin. Kami tidak boleh meninggalkan mereka begitu sahaja, hanya kerana mereka tidak mencapai prestasi baik (dalam pilihan raya),” katanya.

Masyarakat Cina mewakili 26 peratus penduduk Sarawak tetapi tinggal di kawasan-kawasan bandar.

SUPP mempunyai dua menteri di Kabinet Sarawak dan lima pembantu menteri.

13 ulasan:

Anak Sabah berkata...

Selamat berjuang, diharapkan persaingan ini dijalankan secara bersih dan adil.

samm berkata...

BN yakin akan tetap mendapat kepercayaan rakyat di Sarawak. namun, pemimpin-pemimpin BN perlu terus bekerja keras dan jangan lah lalai.

Hosie Masie berkata...

Baguslah kalau yakin dengan kekalkan sarawak untuk BN walau apa pun yang berlaku. Harap BN akan memberikan keyakinan juga kepada rakyat sarawak.

Hamdan Hadillah berkata...

Semoga kejayaan akan dikecapi oleh BN diSarawak. Rakyat akan menyokong utnuk kebaikan mereka juga.

Tanpa Nama berkata...

kadang2 kita perlu juga melihat sejauhmana seseorang pemimpin itu masih diyakini oleh rakyat. memandangkan beliau telah lama menerajui kepimpinan Sarawak, dikhuatiri kepimpinan beliau tidak lagi diyakini oleh beberapa kelompok dalam komuniti setempat...

azman berkata...

memang baik jika BN yakin kekal menjadi pilihan di Sarawak. tapi BN Sarawak perlulah meneruskan usaha-usaha membantu rakyat dan jangan sesekali leka.

Paquin berkata...

Waa lamanya Taim jadi CM sarawak. Tabiklah sama Taib :)

Paquin berkata...

Semoga berjaya BN :) Pastikan agar rakyat terus menyokong pentadbiran BN :)

Paquin berkata...

Betul tu jieah. Dalam politik ni apa2 boleh jadi. So jangan lalai walau sesaat pun, jalankan tanggunjawab sebaik mungkin supaya rakyat akan terus bagi sokongan.

Paquin berkata...

Harus dipastikan juga BN memenuhi keperluan rakyat supaya rakyat tak rasa sia2 kerana telah membenarkan BN kekal di Sarawak sejak sekian lama.

Paquin berkata...

Apapun, semuanya terpulang pada rakyat Sarawak. Asalakan BN dapat buktikan kemampuan mereka, saya yakin rakyat pasti akan memilih mereka utk kekal di Sarawak.

mandau berkata...

BN akan tetap mendapat sokongan penuh daripada rakyat sarawak. apapun harap BN akan dpt menerajui sarawak dgn lebih baik.

Tanpa Nama berkata...

lebih baik jika BN tidak terlalu berasa yakin berkenaan dengan sokongan rakyat. lakukan tindakan atau terus berkerja untuk rakyat sehingga rakyat benar2 yakin dengan kepimpinan BN.