Ahad, 12 September 2010

Biarlah Utusan sahaja yang percaya kepada auta Perkasa


Oleh Penarik Beca

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali mengingatkan Umno bahawa hanya tiga daripada 10 ahlinya akan mengundi parti itu dalam pilihan raya umum ke-13.

Menurut beliau, keahlian Umno yang dipercayai dalam lingkungan 3.4 juta orang sebenarnya tidak bermakna memandangkan hanya segelintir penyokong tegar yang akan mengundinya manakala yang lain akan dipengaruhi oleh isu-isu dan tindak tanduk parti-parti lain (lihat Malaysian Insider semalam "Amaran Perkasa: Hanya 30 peratus ahli Umno akan undi BN PRU-13").

Jika anda membenci Umno, tak payahlah nak seronok sangat, bergencok ronggeng dengan dakwaan Ibrahim itu. Saya dah sebut sebelum ini, sejak pilihan raya kecil Bukit Gantang, kita melihat sokongan orang-orang Melayu terhadap Umno makin bertambah. Sebab itulah, walaupun saya bersyukur kepada Allah s.w.t. jika benar apa yang dilaporkan, saya taklah rasa seronok sikit pun dengan berita-berita seperti berita Malaysian Insider bertajuk "57 peratus orang Melayu tak percaya media arus perdana".

Terimalah hakikat bahawa Umno kian mendapat sokongan. Umno tidak memerlukan Perkasa. Perkasa yang memerlukan Umno termasuk, sudah tentu, untuk mendapatkan projek-projek dan apa jua habuan yang selama ini diidamkan-idamkan. Ibrahim boleh mendakwa apa sahaja. Maklumlah, beliau nampak sangat tertekan dengan berita-berita seperti berita Malaysian Insider bertajuk "Pemimpin BN mula pamer suara ‘tentang’ pendirian Perkasa".

Jangan cepat lupa, Umno mempunyai kepakaran yang lebih baik dari segi propaganda. Di dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang umpamanya, propaganda Umno lebih berkesan dan tajam dengan menggunakan dua perkataan sahaja - "Boneka derhaka". Untuk menangkis propaganda itu, PAS dan Pakatan Rakyat (PR) pula terpaksa buat bill board yang besar dabak dengan tulisan kecik berjela-jela yang orang bawa kereta tak sempat nak baca pun.

Jika anda membenci Umno seperti saya, terimalah hakikat bahawa Umno lebih kuat di kalangan pengundi-pengundi Melayu. Jangan tertipu dengan luahan kemarahan Ibrahim. Fakta yang ada tidak membenarkan dakwaan ikut sedap mulutnya itu.

Biarlah Utusan Malaysia sahaja yang percaya kepada auta kare Ibrahim dan Perkasa (Gambar di atas ihsan Merdeka Review)

http://penarikbeca.blogspot.com

Tiada ulasan: