Khamis, 2 September 2010

Biar mahkamah tentukan: Mustapa

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Serahkan kepada mahkamah kerana badan pengadilan akan membuat keputusan seadilnya berhubung isu kerajaan Kelantan yang memfailkan saman terhadap Petronas dengan mendakwa syarikat berkenaan melanggar perjanjian dan menuntut supaya melaksanakan perjanjian petroleum dengan negeri itu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kita tidak mempunyai apa-apa hak atau kuasa bagi menyekat keputusan yang bakal dikeluarkan oleh pihak mahkamah.

“Malaysia mempunyai sistem mahkamah yang kukuh dan sebarang keputusan yang dikeluarkan akan diadili dengan adil.

“Rakyat negara ini tidak perlu mempertikaikan keputusan pihak mahkamah dan harus menghormati sebarang kenyataan daripada pihak berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, badan kehakiman akan mengadili setiap isu berdasarkan bukti yang menyokong dan kukuh.

Mustapa yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan berkata, tidak perlu membuat sebarang spekulasi, kita hanya tunggu dan lihat sahaja keputusan itu memihak kepada pihak mana.

Kelmarin, Kerajaan Kelantan memfailkan saman kepada syarikat minyak negara dan mendakwa Petronas melanggar perjanjian yang dilakukan selain menuntut perjanjian petroleum di negeri itu dilaksanakan.

Selain itu, Kerajaan Kelantan juga menuntut semua tunggakan pembayaran tunai yang diperjelaskan supaya dibayar dalam tempoh satu bulan daripada perintah mahkamah.

Turut dituntut lima relif yang lain termasuk relif ganti rugi dan kos, bagaimanapun saman pemula itu tidak menyatakan jumlah keseluruhan tuntutan daripada Petronas.

Perjanjian petroleum Kelantan yang ditandatangani pada 9 Mei 1975, secara jelas menyatakan bahawa Petronas perlu membayar secara tunai sebanyak lima peratus bagi segala hasil minyak sama ada di perairan dan luar pantai negeri berkenaan.

Tidak ada sebarang kekeliruan dalam perjanjian itu dan mendapat sokongan daripada bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah yang menandatangani perjanjian bagi pihak syarikat minyak itu dengan negeri lain termasuk Kelantan.

Saman pemula berkenaan difailkan di Bahagian Pendaftar Mahkamah Dagang melalui pejabat peguam Tetuan Tommy Thomas jam 9.30 pagi di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: