Khamis, 23 September 2010

Bekas ketua Pemuda MIC lapor polis terima ugutan bunuh


1 ketua pemuda mic Jamilah Kamarudin

SHAH ALAM: Bekas Ketua Pemuda MIC S Vigneswaran hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seksyen 11 di sini berikutan menerima ancaman bunuh melalui panggilan telefon.

Ancaman itu diterimanya melalui dua panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali petang semalam pada jam 2 dan 3.56 petang.

Vignesaran berkata, melalui perbualan daripada telefon bimbitnya, lelaki misteri yang berbual menggunakan bahasa Tamil itu mengugut beliau dengan merujuk kepada sebuah ‘kes’.

"Pemanggil itu bertanya mengenai sebuah kes. Saya tanya kes apa? Pemanggil itu kemudian berkata kepada saya ‘kalau kamu masih hidup sahaja kes akan jalan kan?’.

"Apabila saya tanya identiti pemanggil itu, beliau terus meletakkan telefon," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yang juga pengerusi Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia percaya panggilan itu mempunyai unsur melibatkan ugutan nyawa dan ada kaitan dengan kes saman Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) berjumlah RM100 juta yang membabitkan beberapa tokoh politik dan pemimpin MIC termasuk Presiden Datuk Seri S Samy Vellu.

Katanya, sebagai salah seorang ahli MIED, beliau telah membuat permohonan saman di bawah Seksyen 181A Akta Syarikat 1965 terhadap MIED di Mahakamah Tinggi pada Januari lalu.

Permohonan kebenaran mahkamah itu dibuat agar MIED membawa tindakan terhadap pemegang amanah yang memungkiri tanggungjawab sehingga membawa kerugian dan kehilangan kepada MIED, katanya.

"Mahkamah Tinggi pada Jun lalu telah membenarkan saya membawa satu tindakan bagi pihak MIED melalui satu writ saman.

"Manakala pada 8 Oktober depan tarikh bicara akan ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh tindakan MIED terhadap mereka yang dinamakan dalam tindakan tersebut.

"Jadi apa yang dikatakan oleh pemanggil misteri tersebut adalah benar kerana kes ini hanya boleh diteruskan jika saya masih hidup kerana perintah bertarikh 14 Jun lalu hanya memberikan kebenaran kepada saya seorang sahaja membawa satu tindakan bagi pihak MIED," katanya.

Bimbang dengan keselamatan diri serta ahli keluarganya yang lain, beliau memutuskan untuk membuat laporan polis petang tadi. Laporan itu diterima oleh Inspektor Saiful Faizi.

"Polis telah memberi jaminan kepada saya untuk menyiasat perkara ini kerana membabitkan ugutan berunsurkan jenayah," katanya.

Vigneswaran, yang dipilih menerajui Pemuda MIC pada 2002 melepaskan jawatannya pada Jun 2008 selepas dikatakan menerima tekanan politik dalaman parti dan tidak lagi mempunyai asas sokongan yang kuat daripada pemimpin MIC sendiri.

Tiada ulasan: