Khamis, 16 September 2010

Azmin sahkan bertanding timbalan presiden PKR

Harakahdaily

KOTA KINABALU: Mohamed Azmin Ali, anggota Parlimen Gombak mengesahkan untuk bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR, apabila memaklumkan kepada media menawarkan diri untuk dipilih ke jawatan itu.

Pengesahan ini bermakna, dua calon telah mengesahkan untuk merebut jawatan ini selepas Dr Syed Husin Ali mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan itu. Yang menariknya, pengumuman ini dibuat Azmin di Sabah, negeri yang dikira paling kuat menyokong lawan beliau.

Seorang lagi calon adalah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Zaid Ibrahim. Seorang lagi Naib Presiden, Mustapha Kamil Ayub belum mengesahkan penyertaannya selepas dicalonkan oleh PKR Perak agar bertanding jawatan itu.

Dr Mohd Nor Manuty, seorang pemimpin yang dijangka juga merebut jawatan itu mengesahkan tidak akan bertanding jawatan itu. Beliau dipercayai akan memberikan sokongan kepada Zaid ekoran pertemuan mereka malam tadi sebuah restoran Arab dekat Kuala Lumpur.

Tidak dapat dipastikan apakah beliau akan bertanding jjawatan naib presiden dalam pemilihan kali ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Azmin berkata;

"Setelah mengambil kira pandangan pimpinan tertinggi parti dan anggota-anggota parti termasuk perbincangan terus dengan Dr. Syed Husin Ali; saya dengan penuh rasa tawadhu’ dan rendah hati ingin menawarkan diri saya untuk berkhidmat di jawatan tersebut."

Azmin menjelaskan, tawaran ini dibuat selepas berbincang dengan rakan-rakannya termasuk Dr Syed Husin penyandang jawatan itu sekarang ini.

Bagi Azmin, PKR telah mengorak langkah memberi takrif baru demokrasi dalam usia yang begitu muda di persada negara.

Pemilihan Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat 2010, katanya, merupakan suatu pemerkasaan demokrasi dalam sejarah politik Malaysia melalui pemilihan langsung yang digalas oleh anggota-anggota parti dan sekaligus menjadikan PKR sebuah parti yang paling demokratik di Malaysia.

Namun pembaharuan ini juga, katanya, membuka cabaran-cabaran baru yang perlu dihadapi dengan bijaksana dan bertanggungjawab.

"Selaku anggota parti yang menjunjung semangat berpasukan di dalam parti, saya mengambil maklum pengumuman Ketua Umum untuk tidak menerima pencalonan bagi jawatan parti dan menumpukan tenaga beliau bagi memantapkan Pakatan Rakyat.

"Sehubungan dengan itu, saya ingin menzahirkan sokongan padu kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Umum dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail selaku Presiden Parti Keadilan Rakyat.

"Saya juga menghayati kenyataan Dr. Syed Husin Ali yang mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan Timbalan Presiden," katanya dalam kenyataan itu.

Azmin juga, dalam kenyataannya, mengambil kesempatan ini untuk menyatakan penghargaan dan terima kasih serta rasa hormatnya kepada Dr. Syed Husin Ali di atas sumbangan dan perjuangan beliau yang berterusan dalam mempertahankan prinsip keadilan dan hak rakyat.

"Dr. Syed Husin Ali beristiqamah dalam perjuangan. Sifat istiqamah beliau akan terus menjadi inspirasi kepada anggota-anggota parti dalam meneruskan perjuangan ini.

"Teras prinsip perjuangan beliau telah menggariskan kriteria contoh pemimpin parti seperti kesetiaan kepada perjuangan, patuh pada disiplin parti, tuntas menentang rasuah serta menegakkan nilai-nilai moral yang tinggi seharusnya menjadi pegangan seluruh anggota parti," katanya.

Azmin bersama rakan-rakan pimpinan dan anggota-anggota parti berjanji akan berganding bahu untuk menggilap idealisme, memperkukuh kesetiaan dan memperkasa organisasi.

"Saya turut berazam untuk memastikan Pemilihan Kepimpinan 2010 berlangsung dalam suasana sihat dan semangat kekeluargaan di sepanjang proses kempen dan pemilihan parti.

"Bersempena dengan Sambutan Hari Malaysia, saya berikrar untuk bersama-sama dengan anggota-anggota parti di Sabah dan rakyat Sabah untuk menjana perubahan dalam Pilihanraya Umum Ke 13 demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Tiada ulasan: