Khamis, 23 September 2010

Awang Adek dalam ilusi, Mustapa berhempas pulas

M Faqih

“FAKTA pada 1972 terdapat seramai sekurang-kurangnya 300 orang peranakan Kelantan yang menjawat jawatan division satu dalam perkhidmatan awam, tentera dan polis. Dengan ada tenaga penyedar, terutamanya di kalangan cerdik pandai universiti yang selalu mengadakan gerakan-gerakan sedar, negeri Kelantan akan menjadi negeri terkemuka dan terkehadapan dalam bidang pelajaran,” tulis Alias Muhamad dalam buku Kelantan Politik dan Dilema Pembangunan.

William R Roff pula menulis: The Islamic State of Kelantan, in the north-east corner of mainland Malaysia bordering southern Thailand, has existed as a locus of power in the peninsular for the least a thousand years.

Prof Ismail Husin pula mencatat ‘di Kelantan sudah lama tumbuh suatu penghidupan keintelektual dan kesusasteraan yang sama suburnya, yang sedikit diketahui orang hari ini’.

Ketika itu Umno atau Perikatan belum ini diterima rakyat Kelantan. Biar pun Perikatan pernah menang pada pilihan raya 1955, namun ketika itu Tanah Melayu masih lagi di bawah cengkaman penjajah.

Bermula pilihan raya 1959, PAS mendominasi kuasa politi di negeri tersebut sehingga 1978. Umno hanya mampu bertapak melalui kuasa eksekutif kerajaan persekutuan apabila menguatkuasa perintah Mageran di Kelantan. Ia berlaku selepas majoriti Adun PAS cuba menyingkir Datuk Mohamad Nasir yang dianggap sebagai Menteri Besar boneka Umno dalam kerajaan campuran.

Sebelum itu Umno sukar diterima di negeri Serambi Mekah yang terkenal sebagai pusat penyebaran Islam di nusantara.

Dalam tempoh 10 tahun PAS memerintah Kelantan sejak 1959 sebanyak 7,000 keluarga penduduk miskin dianugerah tanah. Seluas 70,000 ekar diberi kepada mereka sebagai penempatan baru di hulu Kelantan.

Hari ini pembangunan tanah di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Kelantan (LKTN) telah membuahkan hasilnya. Ramai peneroka di rancangan tanah LTKN berubah taraf hidup.

Lihat apa yang berlaku di Sungai PAS, Mengkebang, Sungai Syam di Kuala Krai dan Air Lanas di Jeli sekarang, mereka sudah jauh berubah. Hutan belantara sudah menjadi perkampungan tersusun.

Apa yang penting setiap peneroka memiliki geran tanah tanpa perlu membayar hutang kepada agensi kerajaan seperti Felda atau Kesedar.

PAS bina stadium

Dalam kedhaifan kerajaan PAS juga Jambatan Sultan Yahya Petra, Stadium Sultan Mohammad Ke IV dan Rancangan Tali Air Kemubu diwujudkan.

Pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra dimulakan pada 1963 melibatkan perbelanjaan awal sebanyak RM2.86 juta. Selepas siap sepenuhnya pada 1965 jumlah keseluruhan kos sebanyak RM6.7 juta.

Ketika pembinaan dijalankan Umno mendakwa jambatan itu tidak mampu disiapkan tanpa bantuan kerajaan pusat.

Malah pada kempen pilihan raya 1964 ada pemimpin Umno memberitahu mereka akan bogel di atas jambatan itu kalau mampu disiapkan kerajaan PAS.

Jawatankuasa pembinaan jambatan dipengerusi Menteri Besar, Datuk Asri Muda.

Manakala Stadium Sultan Mohammad Ke IV dibina di kawasan seluas 13 ekar melibatkan kos sebanyak RM1.5 juta.

Rancangan Tali Air Kemubu pula dibina bagi faedah pesawah padi di kawasan seluas 51,000 ekar meliputi jajahan Kota Bharu, Pasir Puteh dan Bachok.

Projek itu mengambil masa lima tahun untuk disiapkan dengan kos sebanyak RM45 juta. Dana bagi menyiapkan projek berkenaan dipinjam dari Bank Dunia.

Pegawai Kewangan Negeri ketika itu, Datuk Abdul Aziz berlepas ke Washington, Amerika Syarikat bagi melobi pinjaman tersebut untuk membiayai pembinaan tali air.

Projek tali air sepanjang 500 batu akhirnya siap dengan kos melonjak sehingga RM75 juta.

Ini antara projek besar dilaksanakan kerajaan PAS Kelantan. Tidak ramai yang tahu sejarah itu kerana Umno sering mendabik dada merekalah yang membina Kota Darulnaim dan kompleks Balai Islam di Lundang dan Pasar Siti Khadijah.

Hutang RM700 juta

Namun, orang ramai tidak pernah diberitahu hutang yang ditinggalkan kepada kerajaan PAS (versi kedua) lebih RM700 juta.

Dan hari ini PAS di bawah kepemimpinan ulama, Kelantan terus dipacu ke hadapan. Sejak 20 tahun lalu, perubahan ketara boleh dilihat, biar pun Umno masih mendakwa negeri itu tidak membangun.

”Saya berada di Mesir selama enam tahun dan tidak pernah balik ke kampung sepanjang belajar di Universiti Al-Azhar.

”Ketika saya pulang selepas tamat pengajian sebulan lalu, saya tidak boleh lagi hendak memandu kereta di bandar Kota Bharu. Saya tidak tahu jalan mana,” kata seorang ustaz dari Kampung Sireh.

Kini setelah Kelantan jauh melangkah ke hadapan, masih ada lagi pemimpin Umno menganggap PAS gagal mentadbir Kelantan sepanjang 20 tahun ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin masih tidak serik untuk melontar hujah yang sama sejak 20 tahun lalu.

Beliau menyifatkan kerajaan PAS gagal menyediakan air bersih kepada rakyat.

Sedangkan kerajaan pusat membekukan peruntukan meningkatkan kemudahan bekalan air bersih di Kelantan pada 1990 tidak pernah digegerkan.

Peruntukan sebanyak RM80 juta yang diluluskan sebelum itu telah dibekukan angkara kerajaan BN kecundang di Kelantan.

Keadaan itu menyebabkan projek bekalan air Kelantan utara bermasalah. Maka bagi mengatasi masalah tersebut kerajaan negeri menswastakan pengendali bekalan air kepada sebuah syarikat, Thames Water Sdn Bhd.

Kemudian Perbadanan Menteri Besar Kelantan memiliki sepenuhnya ekuiti dalam Kelantan Water Sdn Bhd (KWSB) bagi membolehkan pengurusan air dikuasai sepenuhnya kerajaan negeri.

Kerajaan pusat hanya meluluskan soft loan kepada Kelantan di atas kertas sebanyak RM600 juta bagi melaksanakan projek bekalan air pada 2001.

Ia hanya berlaku di era terakhir pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad. Bagaimanapun nilaian projek yang diterima kerajaan negeri hanya lebih RM300 juta dan bukannya RM600 juta seperti diluluskan.

”Biar pun projek itu diluluskan kepada kerajaan negeri, namun segala projek, tender dan pelantikan kontraktor ditentukan sepenuhnya kerajaan pusat.

”Kerajaan negeri tidak ada kuasa langsung bagi melantik kontraktor. Biar pun begitu kita sentiasa memberi kerjasama penuh,” kata anggota Exco, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman.

Malah, katanya sehingga kini lebih 70 peratus penduduk di Kelantan menikmati bekalan air bersih.

Menurutnya kerajaan negeri mempunyai perancangan sehingga 30 tahun bagi menyediakan bekalan air bersih kepada rakyat.

Oleh itu ramai menyifatkan agenda Umno hendak menyediakan bekalan air bersih sebagai modal bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 tidak lebih sebagai gimik politik.

Dalam banyak situasi Awang Adek lebih banyak tenggelam dalam ilusi. Kenyataannya ternyata banyak menggigit kaki Datuk Seri Mustapa Mohamed yang berhempas pulas memulih imej Umno Kelantan.

Tiada ulasan: