Sabtu, 11 September 2010

Anwar ikrar sikap berkecuali saingan kerusi timbalan presiden


SHAH ALAM — Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu namanya turut diheret dalam saingan jawatan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini yang dijangka sengit.

“(Perkara) ini adalah biasa dalam proses demokratik,” kata Penasihat PKR ini hari ini.

Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Datuk Zaid Ibrahim mendakwa wujud taktik kotor untuk menjejaskan peluang beliau bertanding pada pemilihan kali ini.

Sekumpulan 20 Ahli Parlimen PKR dan majoriti ADUN dari Selangor dan Negeri Sembilan menyatakan sokongan kepada Naib Presiden Azmin Ali untuk bertanding jawatan nombor dua parti itu.

Mereka juga menafikan dakwaan bahawa Azmin menyerang Zaid.

Ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka kerajaan negeri Selangor di sini hari ini, Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat berkata, parti telah merangka kod etika untuk dipatuhi oleh calon-calon yang bertanding.

Anwar berkata, pemilihan langsung PKR memberikan setiap ahli peluang untuk memilih pemimpin, satu langkah yang berada dalam hala tuju yang betul.

Katanya, di bawah sistem lama hanya perwakilan yang boleh mengundi, sekali gus terdedah kepada manipulasi dan rasuah.

PKR meminda perlembagaan tahun lalu untuk memberikan setiap ahli hak untuk mengundi.

Kira-kira 400,000 ahli dari 218 cabang akan mengundi pada pemilihan julung kali yang bermula Oktober hingga November ini.

Tiada ulasan: