Sabtu, 18 September 2010

AMK gesa SPRM siasat 16 projek mega NKRA Sabah

FREE MALAYSIA TODAY

-000ag8KOTA KINABALU: AMK Sabah menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan ke atas perlantikan 16 kontraktor bagi 16 projek mega di bawah projek bidang keberhasilan utama negara ( NKRA) Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KKLW).

Ketua Penerangan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat Sabah, Zainuddin Hassan, berkata beliau mendapat maklumat bahawa setiap kontraktor yang bersetuju syarikat mereka dipinjam atau disenaraikan nama di dalam tender terhad telah ‘dibayar’ saguhati antara RM30,000 hingga RM50,000 oleh kontraktor utama yang ditawarkan kontrak berkenaan.

“Tender terhad tersebut dipanggil sekadar memenuhi syarat. Inilah tipu helah kerajaan Barisan Nasional, terutama Menteri KKLW yang menyalahguna kuasa untuk memberikan 16 kontrak mega kepada kontraktor milik proksi dan kroninya,” ujarnya seperti dilapur laman web berita Sabahkini.

Zainuddin berkata beliau telah menemui beberapa kontraktor yang syarikat mereka disenaraikan tanpa persetujuan ahli lembaga pengarah.

Dalam pada itu, Zainuddin turut menggesa agar Kementerian Kewangan membatalkan kelulusan memanggil tender terhad kerana senarai kontraktor yang dikemukakan sekadar ‘mencukupkan korum’ dan tidak berwibawa langsung untuk menyertai 16 tender berkenaan.

Tegas Zainuddin lagi, ada kontraktor yang hanya menumpang pejabat dan tidak mempunyai kakitangan dan tidak pernah mendapat kontrak kerajaan sejak antara dua hingga empat tahun lalu.

“Jika KKLW menggunakan prosedur tender kerajaan dan arahan perbendaharaan, hanya kontraktor yang layak sahaja akan disenarai pendek untuk ditemuduga atau disenaraikan untuk kelulusan sebelum mereka diberi borang tender,” ujar Zainuddin.

Menurut Zainuddin, pihaknya juga mempunyai bukti bahawa projek menaiktaraf jalan Kibbas-Mohimboyan, Ranau telah dianugerahkan kepada UPKO menggunakan salah satu daripada lapan syarikat yang disenaraikan.

“Kita turut mendapat maklumat, projek membina jalan Kampung Bangkahak Baru-Kampung Zing, Kota Belud yang menyenaraikan sembilan kontraktor untuk menyertai tender terhad, khabarnya diberikan kepada proksi Menteri KKLW iaitu orang bekas ketua Pemuda Umno bahagian,” kata Zainuddin yang akan membuat pendedahan lanjut jika diperlukan SPRM.

Tiada ulasan: