Ahad, 19 September 2010

Amah dakwa kena dera, dirogol majikan

KESAN kecederaan yang dialami amah warga Indonesia yang didakwa didera majikannya.

BERITA HARIAN ONLINE

GEORGETOWN: Seorang pembantu rumah warga Indonesia disiram air panas dan diseterika di dada serta dirogol empat kali sejak beberapa bulan lalu sebelum ditinggalkan di kawasan ladang Taman Cenderawasih, Nibong Tebal, minggu lalu.

Mangsa yang dikenali sebagai Winfaida, 26, dari Jawa Timur, mendakwa didera majikannya sejak Mei lalu dengan memukulnya di kepala, diseterika di dada sehingga melecur, disiram air panas di bahagian belakang, dirogol serta tidak dibayar gaji sejak bekerja dengan pasangan itu pada Februari lalu.

Berikutan penderaan secara fizikal dan seksual sejak empat bulan lalu di rumah majikannya di Jelutong di sini, beliau mengalami kecederaan dan lebam di beberapa bahagian badan. Wanita itu kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, berkata perbuatan tidak berperikemanusiaan majikan itu terbongkar apabila dia membawa mangsa dengan sebuah kereta ke sebuah ladang di Nibong Tebal dan meninggalkannya kira-kira jam 9 malam pada 12 September lalu.

Mangsa yang ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, ditemui orang awam kira-kira jam 10.30 pagi keesokannya sebelum diserahkan kepada polis Seberang Prai Selatan (SPS).

Pada peringkat awal siasatan, polis sukar mengesan majikan mangsa kerana dia hanya memberitahu bekerja dengan pasangan suami isteri yang mempunyai empat anak di Jelutong. Bagaimanapun selepas hampir seminggu menyiasat, dan dengan bantuan awam, polis berjaya mengesan majikan mangsa.

Berikutan itu, polis menyerbu satu unit pangsapuri di Jalan Penawar Satu, Jelutong kira-kira jam 9.15 malam kelmarin dan menahan seorang lelaki berusia 41 tahun yang bekerja sebagai kontraktor memotong rumput dan isterinya berumur 36 tahun.
"Berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku mendera mangsa termasuk merogol wanita itu beberapa kali dan pemeriksaan doktor juga mendapati ada koyakan di kemaluan mangsa. Pasangan suami isteri itu direman empat hari mulai hari ini (semalam) bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Kong Meng berkata, polis turut merampas sebuah seterika di rumah pasangan yang dipercayai digunakan untuk mendera mangsa.

Turut dirampas satu tali pinggang, cadar dan cadar di bilik mangsa serta sebuah kereta jenis Toyota Camry yang digunakan untuk membawa mangsa ke Nibong Tebal. Semakan juga mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod kesalahan berkaitan dadah dan satu kes jenayah.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 376 kanun yang sama iaitu rogol.

Tiada ulasan: