Sabtu, 4 September 2010

Akta Hubungan Kaum? Hapuskan BTN dahulu, KL-SCAH

Tan Yew Sing

Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KL-SCAH) mengalu-alukan cadangan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Rais Yatim agar Akta Hubungan Kaum digubal untuk mengelakkan kejadian ketersasulan pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan daripada berulang.

Bagaimanapun, KLSCAH menyeru agar kerajaan menyelesaikan beberapa perkara berikut terlebih dahulu:-

Pertama, hapuskan Biro Tata Negara (BTN) agar minda kakitangan awam tidak lagi diracuni.

Kedua, menandatangani International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination, 1969 daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), untuk menunjukkan kepada masyarakat antarabangsa bahawa negara kita ikhlas dalam membanteras sebarang bentuk perkauman. Malah, kami mengambil langkah yang positif untuk memupuk kesefahaman antara kaum dengan mendidik rakyat.

Kami menyambut baik apabila Rais Yatim membangkitkan idea Akta Hubungan Kaum sekali lagi. Idea ini diketengahkan oleh bekas Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar pada dua tahun yang lalu (September 2008), ketika berlakunya penahanan wartawan, blogger dan pemimpin politik pembangkang di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), ekoran daripada tercetusnya kontroversi kenyataan "pendatang".

Tanpa diduga, kabinet menolak keputusan penggubalan Akta Hubungan Kaum pada Januari 2009, dengan alasan bahawa perkembangan hubungan kaum adalah positif. Kini, Rais Yatim (gambar kanan) membangkitkan sekali lagi penggubalan akta tersebut, dan menaruh harapan agar pihak berkenaan melaksanakannya.

Akta ini harus berlunaskan "undang-undang anti-diskriminasi", dengan tujuan agar dasar "diskriminasi sifar" diamalkan di sektor awam dan swasta, sama ada ia bergelar Akta Hubungan Kaum mahupun Akta Kesaksamaan Kaum.

Rais Yatim menekankan bahawa "kita memerlukan satu jawatankuasa yang tetap untuk mengawal tingkahlaku kita, mengingatkan kita bahawa sesetengah perkara harus dilarang", dengan alasan bahawa "Melayu, Cina dan India adalah etnik utama yang menjadi komposisi masyarakat Malaysia".

KL-SCAH ingin menambah, bahawa akta anti-diskriminasi bukan sahaja untuk mencegah konflik masyarakat daripada berlaku, tetapi untuk menjamin kedudukan kaum minoriti, untuk mengelakkan penindasan terhadap kaum asli, wanita, buruh asing, pasangan dengan kewarganegaraan asing, orang kurang upaya dan sebagainya.

KL-SCAH menegaskan bahawa, seandainya kita benar ingin mengambil iktibar daripada kejadian ketersasulan pengetua, dan mara ke depan dari kesilapan tersebut, maka kita perlu sedar bahawa punca pokoknya bukan hanya pada pemimpin politik dan undang-undang. Kita perlu insaf dan bertaubat - dari dewan parlimen, aktiviti kempen politik sehinggalah masyarakat sivil.

Gagasan 1Malaysia yang disarankan oleh Perdana Menteri Najib Razak telah biasa kedengaran. Namun, kenyataan perkauman ektremis yang menjejaskan perpaduan masih terkeluar dari bibir -- dari Pegawai Khas Perdana Menteri, sehinggalah pengetua sekolah menengah. Mereka harus diambil tindakan tegas sebagai amaran kepada mereka yang ingin menyusul jejak mereka berdua di atas.

Malah, kandungan klip video Namewee bukan sahaja kasar dan tidak senonoh, malah sarat dengan prejudis terhadap wanita dan muslim. Sesungguhnya ia merupakan insiden yang amat menyesalkan, dan tidak patut digalakkan.

*Kenyataan media oleh Tan Yew Sing selaku Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor. Diterjemah dari teks asal dalam bahasa Cina.

Tiada ulasan: