Khamis, 2 September 2010

495 bantahan, SPR tangguh warta daftar pemilih Tanah Merah


KUALA LUMPUR— Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pengesahan permohonan baru pemilih dan tukar alamat melibatkan bahagian Parlimen Tanah Merah, Kelantan, yang menyaksikan 495 bantahan diterima.

Meskipun SPR mewartakan daftar pemilih tambahan suku kedua 2010 membabitkan 221 bahagian lain hari ini, tetapi ia tidak termasuk permohonan membabitkan Tanah Merah.

“Kami masih belum memproses sebanyak 495 tuntutan yang diterima ketika tempoh pameran antara 20 hingga 26 Julai lalu,” kata Pengerusi Jawatankuasa Panel Pendaftaran dan Penyediaan Daftar Pemilih SPR Datuk Zainal Abidin Mat Said di sini.

Sepanjang tempoh pameran dari 20 hingga 26 Julai, SPR menerima 495 bantahan di bahagian Tanah Merah yang masih belum diselesaikan sehingga kini, menyebabkan 1,004 permohonan baru dan 67 pendaftaran pertukaran alamat pusat mengundi bagi kawasan itu tidak dapat disahkan, kata beliau.

Ketika tempoh pameran kali ini, SPR hanya menerima bantahan membabitkan dua bahagian iaitu Tanah Merah dan Hulu Terengganu, Terengganu.

Zainal Abidin berkata, SPR menerima 20 bantahan di Hulu Terengganu tetapi ia telah diselesaikan.

Selain itu SPR juga menerima 1,801 tuntutan yang melibatkan 48 Bahagian Pilihan Raya Parlimen, di mana kesemuanya telahpun diselesaikan.

“Kesemua bantahan membabitkan alamat tempat tinggal, di mana ada yang mendakwa tidak kena mereka yang memohon mendaftar sebagai pengundi baru dan tukar alamat,” katanya.

Sambil menolak sejumlah bantahan itu sebagai perkara luar biasa, Zainal Abidin berkata, pihaknya menerima bantahan dalam jumlah yang banyak pada 2007 iaitu sebelum pilihan raya umum 2008.

“Kami menjangkakan bantahan macam ini akan meningkat selepas ini ketika menjelang pilihan raya,” katanya.

Beliau juga menyangkal bantahan itu ada hubung kait dengan ideologi politik.

“Bantahan boleh dibuat oleh orang perseorangan, jadi tidak tahu dari parti mana mereka datang,” katanya.

Kerusi Tanah Merah merupakan salah satu yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 2008.

Kerusi itu dimenangi oleh wakil PKR Amran Ab Ghani yang menewaskan calon Umno Shaari Hassan dan Asmadi Abu Bakar dari Bebas.

Pada Mac 2008 bahagian itu mempunyai 36,027 pengundi.

Amran menang dengan majoriti 1,584 undi.

Zainal Abidin berkata pihaknya tidak dapat mendengar bantahan sebab pengarah pilihan raya negeri sudah bersara.

“Bantahan ini sudah bersedia untuk didengar... sebaik sahaja pengarah pilihan raya negeri baru dilantik, kami akan mengadakan siasatan awam untuk mendengar setiap bantahan ini,” katanya.

Katanya, setiap bantahan biasanya mengambil masa kira-kira 20 minit.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum Dewan Undangan Negeri

Sarawak ke-10 dan pilihan raya umum ke-13 pemilih berdaftar dinasihatkan membuat semakan maklumat bagi memastikan mereka berdaftar di lokaliti yang betul.

Beliau berkata ia bagi mengelakkan tohmahan atau dakwaan bahawa SPR memindahkan pemilih ataupun menukar lokaliti seseorang pemilih tanpa dipohon.

“Jika keadaan ini berlaku menjelang sesuatu pilihan raya, SPR tidak dapat mengambil tindakan sewajarnya kerana masa yang singkat,” katanya.

Zainal Abidin berkata sekiranya terdapat kesilapan penempatan lokaliti serta maklumat pendaftaran mereka, pemilih berdaftar perlu membuat aduan kepada SPR melalui Sistem Aduan SPR di www.spr.gov.my atau menulis surat atau datang sendiri ke mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri atau ibu pejabat SPR di Putrajaya.

Beliau juga mengharapkan kerjasama waris kepada pemilih berdaftar yang telah meninggal dunia agar dapat melaporkan kematian berkenaan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan segera bagi membolehkan SPR mengambil tindakan susulan mengeluarkan nama pemilih dari Daftar Pemilih.

Pemilih berdaftar yang sudah bertukar alamat tempat bermastautin juga digalakkan membuat permohonan pertukaran alamat pusat mengundi di mana-mana pejabat pos berkomputer, kaunter-kaunter bergerak SPR, kaunter ibu pejabat SPR di sini atau kaunter di Pejabat Pilihan Raya Negeri, bagi membolehkan mereka mengundi di pusat mengundi yang berdekatan dengan kediaman, katanya.

Kini jumlah pemilih berdaftar di seluruh negara meningkat kepada 11,381,193 orang dengan pewartaan daftar pemilih tambahan suku kedua tahun ini yang mengandungi 191,970 pemilih.

Daftar tambahan ini melibatkan tempoh 1 April hingga 30 Jun itu terdiri daripada 164,821 permohonan pemilih baru dan 27,149 permohonan pertukaran alamat pusat mengundi.

Tiada ulasan: