Khamis, 2 September 2010

100 Kanopi Polis Ditempatkan Di Laluan Berbahaya

MSTAR ONLINE



Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman, (dua dari kanan) bersama-sama dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan(kanan) melepaskan Pasukan Pemantau Trafik di majlis pelancaran kempen keselamatan jalanraya Ops Sikap 22. Turut serta Pengerusi TM, Datuk Dr Halim Shafie, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM , Datuk Sri Zamzamzairani Mohd Isa.

KUALA LUMPUR: Lebih 100 buah kanopi polis akan ditempatkan di laluan-laluan berbahaya di seluruh negara bagi mewujudkan gambaran kehadiran polis kepada pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata konsep mendirikan kanopi-kanopi itu merupakan langkah penambahbaikan dalam Ops Sikap ke-22 yang bermula Jumaat ini.

"Adanya konsep 'omnipresence' polis ini, ianya tidak hanya memberi kesan kepada pengurangan kemalangan jalan raya sahaja, tetapi juga boleh memberi kesan dalam pencegahan jenayah di kawasan-kawasan operasi (penugasan) mereka masing-masing," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Sikap ke-22 di Menara Telekom Malaysia (TM) di sini pada Rabu.

Ops Sikap ke-22 yang akan berakhir pada 17 Sept dilancarkan serentak hari ini di semua kontinjen dengan melibatkan ketua-ketua polis dan pesuruhjaya polis di seluruh negara.

Turut hadir dalam majlis perasmian itu ialah Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Pengerusi TM Datuk Dr Halim Shafie.

Abu Seman berkata melalui konsep Omnipresence juga, anggota polis akan melakukan penugasan dan rondaan pada setiap masa meliputi lebuh raya, jalan-jalan persekutuan, negeri dan bandaran.

"Kita akan tempatkan 4,962 anggota polis dan mereka akan bertugas secara bergilir di lebuh raya dan jalan-jalan yang terlibat. "Di lebuh raya, penugasan operasi mereka adalah bagi tempoh 24 jam... sementara di jalan-jalan persekutuan, negeri dan bandaran adalah selama 12 jam yang turut memfokus pada waktu-waktu puncak (kesesakan)," katanya.

Abu Seman turut meminta kesemua pengusaha-pengusaha pengangkutan awam agar memperbaiki kualiti perkhidmatan masing-masing bagi menjamin keselamatan penumpang sekaligus mengelakkan berlakunya kemalangan.

"Aspek yang perlu diberi perhatian ialah kualiti pemandu itu sendiri, keadaan mekanikal kenderaan termasuk tayar dan amalan-amalan keselamatan bagi mengelakkan kesalahan seperti memandu laju dan had masa memandu tidak melebihi lapan jam sehari," katanya.

Mengulas mengenai saman ekor, Abu Seman berkata pelaksanaan saman itu akan tetap diteruskan pada musim perayaan ini.

"Kita hanya menarik balik tindakan menyenarai hitam kesalahan di jalan raya, buat sementara waktu, bagi membolehkan orang ramai memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan sehingga 28 Februari tahun depan.

"Pemandu yang melakukan kesalahan kita tetap akan saman dan belum ada penurunan kadar saman ekor seperti yang digembar-gemburkan," kata Abu Seman.

Sementara itu, Musa berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memaparkan maklumat-maklumat berhubung situasi trafik semasa seluruh negara di laman web rasmi PDRM bagi memudahkan orang ramai mengatur waktu perjalanan mereka.

"Saya minta pemandu dan pengguna jalan raya lihat web ini supaya nanti tak susah. Kalau tak lancar perjalanan nanti sesak kamu marah... masa itulah nak naik darah, masa itulah nak laju dan berlakulah kemalangan," kata Musa.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr . Abd Halim berkata keselamatan jalan raya merupakan aspek penting terutamanya pada musim cuti dan perayaan.

"Sebagai pengguna jalan raya, anggota TM tidak terkecuali dari turut menjadi mangsa kepada kelalaian dan kealpaan ketika memandu.

"Semua ini memberikan impak dan kesedaran kepada pihak kami untuk menyokong dan memainkan peranan yang lebih aktif dalam membantu polis bagi mewujudkan kesedaran orang ramai," katanya.

Bersempena dengan pelancaran Ops Sikap itu, PDRM turut melancarkan talian bebas tol iaitu 1800-88-1412 yang disediakan oleh TM.

Pengguna jalan raya boleh menggunakan talian bebas tol itu untuk melaporkan keadaan trafik, kemalangan jalan raya dan untuk mendapatkan sebarang bantuan.

Tiada ulasan: