Selasa, 10 Ogos 2010

Yaakob sampai sumbangan kurma kepada peniaga


SELANGOR KINI


SHAH ALAM - Para usahawan dan peniaga di pasar sekitar Seksyen 6 dan 16 hari ini menerima sumbangan kurma daripada kerajaan negeri Selangor.

Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi jawatankuasa tetap Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan , Yaakob Sapari.

Menurut Yaakob,kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah melaksanakan beberapa majlis sumbangan kepada fakir miskin dan mereka yang memerlukan.

“Kami melihat sebelum Ramadan lagi, LZS memberi sumbangan kepada golongan fakir miskin di seluruh negeri Selangor. Dan baru-baru ini saya terlibat dalam penyampaian di Puchong iaitu sumbangan zakat mengikut kadar keluarga yang paling rendah RM 550 sampai RM1,200.”

Katanya lagi, sumbangan kepada usahawan kali ini adalah sebagai ingatan terhadap para peniaga di kawasan DUN beliau.


“ Saya selaku Exco usahawan ingin menyampaikan sumbangan kepada usahawan khususnya di kawasan saya di Kota Anggerik sebagai ingatan kita kepada mereka,sikit sahaja iaitu kurma dan mungkin juga ke seluruh bazar Ramadan di DUN Kota Anggerik.”

Ujarnya , usaha kerajaan negeri bukan sahaja terhenti di sini, malah beberapa program dan majlis sedang dan telah pun dirancang untuk membantu mereka yang memerlukan bagi menyambut Ramadan dan seterusnya berhari raya dalam keadaan yang lebih baik.

“ Sebelum sambutan hari raya, saya difahamkan pejabat DUN akan membuat program-program untuk membantu golongan fakir dan miskin, sebab mereka ni susah dan perlu juga berhari raya seperti insan lain. Mudah-mudahan Ramadan ini dapat memurahkan rezeki mereka.” katanya.

Tiada ulasan: