Selasa, 17 Ogos 2010

Wanita seksi hantui pesta hantu lapar

BERNAMA


Di sebalik percanggahan pendapat mengenai persembahan nyanyian oleh wanita-wanita berpakaian seksi pada Festival Hantu Lapar yang sedang berlangsung sekarang, penasihat kepada penganjur utama acara itu mencadangkan agar persembahan itu digantikan dengan pertandingan nyanyian.

"Lagipun pentandingan nyanyian ini lebih murah untuk dianjurkan," kata penasihat Persatuan Teong Gun, Datuk Lim Yam Koi kepada Bernama.

Lebih RM2 juta dibelanjakan setiap tahun bagi menyambut festival berkenaan yang akan berlangsung sehingga 7 Sept ini. Sejak bermula 10 Ogos lepas, banyak persembahan ini, yang dikenali sebagai "ko tai", diadakan di jalan-jalan atau di kawasan lapang.

Festival itu disambut pada bulan ketujuh dalam kalendar Cina oleh masyarakat Cina di Malaysia, Singapura, Hong Kong, Taiwan dan selatan China.

Mengikut kepercayaan mereka, pada bulan berkenaan, "pintu neraka" dibuka bagi membolehkan hantu-hantu lapar keluar mencari makanan di Bumi.

Pada pertengahan festival, biasanya pada malam ke-14 atau ke-15, makanan ditawarkan manakala wang kertas dan gaharu dibakar di luar rumah untuk mententeramkan jiwa nenek moyang yang telah meninggal dunia dan bagi memohon nasib yang baik.

Persembahan berbentuk opera Cina dan wayang kulit juga diadakan untuk menghiburkan "roh-roh yang berkeliaran".

Di Pulau Pinang saja, 218 jawatankuasa "phor tor" ditubuhkan bagi menganjur Festival Hantu Lapar. Jawatankuasa ini dianggotai ketua-ketua masyarakat, peniaga dan penduduk setempat.

Sejak kebelakangan ini, jawatankuasa-jawatankuasa ini banyak mengundang wanita berpakaian menjolok mata untuk menyanyi dengan tujuan menarik penonton.

Lim berkata jawatankuasa ini sepatutnya menganjurkan pertandingan nyanyian yang kosnya lebih rendah berbanding bayaran antara RM3,000 dan RM5,000 bagi persembahan oleh wanita-wanita berkenaan.

"Lagipun, pertandingan nyanyian adalah satu bentuk hiburan untuk penonton yang termasuk kanak-kanak dan orang tua," katanya.

Lim berkta beliau akan meminta jawatankuasa "phor tor" untuk menimbang cadangan itu kerana langkah itu akan mengukuhkan hubungan dengan masyarakat.

Beliau berharap lebih banyak opera dan wayang kulit Teochew dan Hokkien dapat diadakan kerana persembahan ini mampu menarik minat pelancong asing ke George Town, yang diiktiraf oleh Unesco sebagai bandar raya warisan.

"Lagipun, kumpulan opera ini hanya mengenakan bayaran antara RM2,000 dan RM3,000 bagi setiap persembahan," kata Lim.


Tiada ulasan: