Rabu, 18 Ogos 2010

Wanita MCA: Kenyataan PAS pertahankan kuota langkah undur

MERDEKA REVIEW

Setiausaha Agung Wanita MCA merangkap Ketua Wanita MCA Selangor, Chew Lee Giok menyatakan kekecewaan dan kekesalannya berhubung kritikan PAS terhadap seruan Presiden MCA untuk memansuhkan kuota ekuiti bumiputera 30% secara beransur-ansur. Malah, Chew Lee Giok mencabar DAP untuk membuat kenyataan bahawa mereka tidak bersetuju dengan pendirian PAS, sebaliknya menyokong pemansuhan kuota ekuiti bumiputera secara beransur-ansur.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor, Roslan Shahir bin Mohd Shahir menyatakan bahawa PAS menyokong dan mempertahankan kuota bumiputera, malah pengekalan kuota ekuiti 30% untuk bumiputera sepatutnya tidak lagi dipertikai atau dipolitikkan oleh mana-mana pihak. Sebelum ini, Presiden PAS Hadi Awang (gambar kiri) juga menekankan bahawa hak istimewa bumiputera harus dikekalkan. Semua ini menonjolkan minda PAS yang berfahaman agama dan perkauman yang sempit.

Chew Lee Giok bersetuju dengan seruan Presiden MCA Chua Soi Lek dalam Kongres Ekonomi Cina kepada kerajaan untuk menarik balik penetapan kuota ekuiti 30% bumiputera secara beransur-ansur, dan menyokong agar membuka dua sektor penting, iaitu petroleum dan gas asli serta telekomunikasi kepada bukan bumiputera. Malah, Chew menyokong dasar terbuka agar GLC (syarikat milik kerajaan) tidak hanya terbatas kepada membantu bumiputera, tetapi harus diuruskan dengan pendekatan meritokrasi, menarik bukan bumiputera ke dalam lembaga pengarah.

Chew Lee Giok (gambar kanan) berkata, ekonomi telah memasuki era globalisasi pada masa kini. Kita tidak harus menambat langkah diri kita. Sekiranya kek ekonomi tidak diperbesarkan dan sektor tidak dibuka, maka ekonomi Malaysia akan terbantut. Demi masa depan negara, kerajaan harus melaksanakan dasar ekonomi yang terbuka.

Beliau menganggap pendirian PAS untuk mempertahankan kuota ekuiti bumiputera seakan-akan tamparan terhadap Pakatan Rakyat. Belumpun PR memerintah di peringkat persekutuan, DAP dan PAS telah menunjukkan bahawa mereka berkongsi impian yang berbeza. PR terutamanya DAP harus memberi penjelasan untuk isu ini. Seandainya DAP terus mendiamkan dirinya, maka ia menunjukkan bahawa DAP adalah talam dua muka ketika berdepan dengan PAS dan masyarakat Cina.

*Kenyataan media oleh Chew Lee Giok selaku Setiausaha Agung Wanita MCA merangkap Ketua Wanita MCA Selangor. Diterjemah dari kenyataannya dalam bahasa Cina.

Tiada ulasan: