Isnin, 23 Ogos 2010

Wahabi: Saya tak akan minta maaf kepada Perlis, kata Nakhaie

KUALA LUMPUR — Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Datuk Mohd Nakhaie Ahmad hari ini mempertahankan tulisannya dalam sebuah majalah agama dan enggan meminta maaf kepada Perlis kerana tiada sebab untuk beliau berbuat demikian.

“Apa pasal saya nak minta maaf pula? Adakah salah saya cakap Perlis berbeza?

“Apa alasan yang menyuruh saya minta maaf kepada Perlis? Adakah apa yang saya kata itu tidak betul?,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Beliau berkata tulisannya bertajuk “Penyelewengan Wahabi” dalam majalah Milenia Muslim keluaran terbaru Ogos langsung tidak mempertikaikan Perlembagaan negeri itu, sebaliknya hanya menyentuh soal amalan yang meletakkan pegangan Ahli Sunah Waljamaah sebagai akidah negeri itu.

“Sebagai contoh di negeri lain ada Qunut tapi di Perlis tidak ada... di Perlis juga tiada bacaan tahlil tapi di negeri-negeri lain ada.

“Jadi buktikan sekiranya apa yang saya katakan salah, baru saya boleh minta maaf.

“Sebab itu saya cuma kata amalan di Perlis berbeza dan saya langsung tidak mempertikaikan perlembagaan negeri itu,” katanya.

Minggu lalu, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya menyifatkan tulisan Nakhaie dalam majalah Milenia Muslim sebagai “tuduhan palsu dan hasutan ganas” untuk menentang Perlis dan cemuhan terhadap amalan Islam di negeri itu.

“Seminar yang didakwa sebagai akademik ini ternyata mengulangi tuduhan-tuduhan palsu yang sudah lapuk.

“Apakah artikel jahat ini adalah kesinambungan daripada seminar yang sebahagian kertas kerjanya memuji Gerakan Ahbash yang telah jelas fatwa kesesatannya oleh al-Azhar dan sebahagian besar ulama dunia Islam,” kata beliau.

Kata Juanda, majalah Milenia Muslim dikatakan ada hubungan langsung dengan sebuah agensi dakwah peringkat kebangsaan yang dinaungi oleh kerajaan persekutuan.

Malah lima pertubuhan bukan kerajaan di Perlis membantah penyiaran sebuah artikel bertajuk “Penyelewengan Wahabi” yang turut dikaitkan dengan pegangan agama di negeri itu.

Persatuan Al Islah Negeri Perlis, Persatuan Melayu Negeri Perils (Pemanis), Pertubuhan Kebajikan al Qalam Perlis, Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia cawangan Perlis dan Persatuan Baiturahim Perlis, berkata Perlis tetap mengamalkan Sunah Waljamaah sebagaimana termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Pertubuhan-pertubuhan itu juga mendesak penulis dan penerbit majalah Milenia Muslim menarik balik tuduhan dan memohon maaf secara terbuka.

Nakhaie berkata, tulisannya dalam majalah tersebut hanya untuk memberikan pandangannya hasil daripada pengalaman dan perbincangan dengan ulama-ulama di Perlis sebelum ini.

“Saya cuma tulis benda yang betul jadi tidak perlu nak dikontroversikan perkara ini.

“Saya tidak kata amalan di Perlis salah cuma ia berbeza, itu sahaja. Kenapa mesti nak perbesarkan perkara ini?” katanya.

Beliau berkata tiada niat untuk menentang Perlis seperti mana yang diperkatakan Juanda.

“Siapa kata saya nak menentang Perlis? Saya senjata pun tidak ada.

“Lagipun apa kena-mengena saya dengan Perlis?” katanya yang tetap mempertahankan tulisannya dalam majalah tersebut.

Tiada ulasan: