Rabu, 11 Ogos 2010

Umno tanam bibit kebencian terhadap Chua


chua jui meng Oleh G Vinod

PETALING JAYA: Ketua PKR Johor Chua Jui Meng hari ini menafikan beliau menggunakan nama Sultan Johor semasa kempen politik di negeri tersebut dan menyalahkan Umno kerana melibatkan pihak istana.

Chua berkata, Umno bekerja keras untuk menyekat populariti Pakatan Rakyat di Johor dengan mengeluarkan kain rentang memuatkan gambar beliau sebagai bakal menteri besar Johor beserta gambar baginda di sebelah.

"Sabtu lalu, salah seorang ahli pemuda (AMK) kami menunjukkan satu kain rentang memuat gambar saya sebagai bakal menteri besar di Gelang Patah," kata Chua.

"Saya tiada kena mengena dengan kain rentang itu kerana saya yakin ianya diletakkan untuk mencetuskan kemarahan orang-orang Melayu terhadap saya. Bagaimanapun, akhbar Sinar Harian memuatkan berita ini hari Isnin tanpa mendapatkan penjelasan daripada saya."

The Star hari ini memuat laporan bahawa Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar mengeluarkan amaran keras kepada ahli-ahli politik supaya tidak menggunakan nama baginda untuk tujuan mana-mana kempen politik.

Sultan mengingatkan seorang ahli politik di Batu Pahat cuba menimbulkan masalah di kalangan rakyat dengan menggunakan gambar baginda pada kain rentang itu.

Umno hasut Melayu dan Sultan

Chua, bekas menteri kesihatan, juga menerangkan bahawa tidak ada sebab untuk PKR mengeluarkan kain rentang seperti itu kerana ia akan menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu dan pihak istana.

"Kenapa kami harus membuat perkara seperti itu sedangkan ia tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada kami? Ia dilakukan untuk mencetuskan kemarahan orang-orang Melayu dan istana terhadap kami. Hanya Umno yang mampu membuat perkara seperti itu,"
katanya.

Beliau menambah, adalah tidak munasabah untuk meletak saya sebagai calon menteri besar.

"Artikel 3 Perlembagaan Johor dengan jelas menyebut seorang menteri besar mesti seorang Melayu dan beragama Islam. Walaupun saya seorang Muslim, saya tidak boleh menduduki jawatan itu kerana saya bukan Melayu," jelas Chua.

Chua berkata, beliau akan menimbang untuk memfailkan saman terhadap Sinar Harian walaupun akhbar harian itu memuatkan penjelasan beliau hari ini.

Polis ambil kenyataan daripada 39 orang

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa polis Johor telah mengambil kenyataan daripada 39 individu, termasuk ahli-ahli politik, untuk membantu siasatan berhubung penggunaan gambar sultan.

Ketua Polis Johor Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kenyataan daripada kesemua mereka telah diambill sebaik sahaja pihak polis menerima sembilan aduan daripada beberapa pihak.

OCPD Batu Pahat dan Cawangan Khas telah ditugaskan untuk menyiasat aduan-aduan tersebut dan menahan mereka yang terlibat," katanya kepada para pemberita di Johor Bahru hari ini.

Mohd Mokhtar berkata polis memandang usaha melibatkan Sultan Ibrahim dalam politik sebagai serius dan akan menjalankan siasatan di bawah Akta Hasutan.

Tiada ulasan: