Sabtu, 7 Ogos 2010

Umno, PAS ‘bersatu’ bidas Soi Lek pertikai sandarkan agama

Oleh Shazwan Mustafa Kamal dan Asrul Hadi Abdullah Sani

KUALA LUMPUR — Pemimpin-pemimpin Umno dan PAS ‘bersatu’ dalam membidas Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kerana menuduh kedua-dua parti Melayu Islam ini menggunakan agama untuk meraih sokongan orang Melayu sejak kebelakangan ini.

Sehubungan itu mereka memberi Dr Chua amaran bahawa beliau berhadapan dengan risiko mencetuskan reaksi balas daripada kaum Melayu.

“Dr Chua perlu berhenti daripada bertindak macam ini. Beliau mengalih politik kaum kepada

politik agama,” kata bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

“Ini sangat bahaya. Mungkin orang mula menyalahkan Islam hanya kerana apa yang beliau berkata... mereka mungkin menyalahkan Islam dan rasuah berleluasa di negara ini kerana agama,” kata Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor ini.

Dr Khir memberitahu The Malaysian Insider petang ini bahawa kenyataan pemimpin MCA itu boleh mencetuskan suasana tidak senang dalam negara selain menjejasjan “keseimbangan agama” yang telah dibentuk oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kita tidak mahu mula menyalahkan satu sama lain, menuding jari... ini akan membawa pertikaian agama. Ini sesuatu bahaya,” kata Dr Khir dalam reaksi segeranya.

Dalam kenyataan awal, Dr Chua membidas Umno dan PAS kerana menggunakan agama untuk bersaing mendapatkan sokongan orang Melayu.

Malah beliau mendakwa Malaysia juga kini terperangkap sebagai negara “berpendapatan tengah” lebih 10 tahun.

Bekas menteri kesihatan itu berkata persaingan antara kedua-dua parti Melayu Islam itu telah membawa negara ke arah “dasar-dasar yang tidak progresif.”

Dr Chua memberitahu MCA juga mendapati Umno menjadi semakin konservatif sejak kebelakangan ini.

Umno-BN kehilangan kerajaan lima negeri pada pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu.

Justeru, Dr Khir berkata, Presiden MCA itu sepatutnya memfokus terhadap usaha membina semula MCA ekoran prestasi ketika pilihan raya umum lalu.

“Saya berpandangan Dr Chua sudah terlalu terpengaruh dengan kempen memperkecilkan Islam sebagai satu agama. Akhirnya, anda sebenarnya menyebabkan pemimpin Melayu marah dan (wujud) lebih ramai musuh,” kata Dr Khir yang turut menafikan kenyataan Dr Chua bahawa Umno menjadi konservatif sekarang.

“Umno sebuah parti progresif, parti yang terbuka. Di bawah BN, kami membolehkan anggota lain sertai bersama, bertanding, kami memberikan hak kepada kaum-kaum lain, memastikan setiap orang gembira,” katanya.

“Islam dekat dengan Umno, sebahagian daripada kehidupan kami. Anda tidak boleh meminta agar agama dipisahkan daripada parti. Ia sebahagian daripada Umno,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan memberitahu, Umno merupakan sebuah parti yang mengikut kehendak akar umbinya dan secara berterusan akan menjadi suara orang Melayu.

“... kami mengambil berat agar menjadi nadi orang Melayu, kadangkala mereka mahukan Umno memberi tumpuan terhadap lebih banyak isu agama,” kata ketua Umno bahagian itu.

Katanya, Umno bukan parti liberal ataupun konservatif, sebaliknya hanya respons kepada kehendak penyokong-penyokong akar umbi.

Pemimpin-pemimpin PAS juga menyangkal kenyataan Dr Chua dengan Naib Presidennya Salahuddin Ayub berkata, PAS sentiasa membawa imej sebagai sebuah parti yang progresif.

Katanya, Dr Chua sebenarnya menyalahkan amalan rasuah kerajaan BN sebagai punca wujudnya dasar-dasar tidak progresif.

“PAS sentiasa mengamalkan Islam progresif dan ini boleh dilihat menerusi platform kami dengan Pakatan Rakyat.

“Pakatan Rakyat adalah satu ikatan yang berkongsi dasar bersama dalam mempertahankan keadilan dan melawan rasuah.

“PAS amalkan Islam yang melahirkan pemimpin-pemimpin progresif berbanding Umno yang masih berpegang kepada sentimen-sentimen perkauman untuk menghentikan prinsip sempit mereka.

Katanya, dasar-dasar tidak progresif bukan disebabkan Islam tetapi kerana pentadbiran rasuah Umno dan BN.

Ahli Parliemn Kubang Kerian ini menambah, MCA tidak jauh berbeza berbanding Umno dalam menggunakan taktik-taktik menakutkan.

“Saya merasakan MCA sudah sedar bahawa ia sudah tidak lagi boleh bersandarkan pada politik kaum Umno,” katanya.

Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Dr Dzulkefly Ahmad memperlekehkan Dr Chua sambil menambah, presiden MCA itu sudah tidak memiliki sokongan masyarakat Cina.

“Chua Soi Lek ingat beliau seorang mufti besar, cuba datang dengan fatwanya. Umno berjuang untuk ketuanan Melayu, menggunakan Islama apabila dan di mana mereka suka untuk mendapatkan sokongan,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Selangor ini menambah, Dr Chua mesti memahami bahawa perbezaan antara PAS dan Umno sebelum membuat kenyataan seumpama itu.

“(Kenyataannya) seakan beliau tidak faham kelainan dalam soal kedinamikan antara Umno dan PAS,” katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mempertahankan bahawa PAS mengutamakan soal Islam dan disebabkan itu agama tidak seharusnya menjadi satu isu.

“Sudah jelas, apa yang kami lakukan ialah politik Islam tetapi Umno hanya berminat buat masa sekarang sebab Islam menjadi semakin penting dan orang sudah melihat Islam sebagai alternatif kepada cara kehidupan mereka,” kata Yang Dipertua PAS Shah Alam.

Khalid juga menolak dakwaan Dr Chua bahawa jika PAS berkuasa di peringkat kerajaan persekutuan, ia belum tentu menjamin akan wujudnya kerajaan yang bebas rasuah.

Tiada ulasan: