Selasa, 3 Ogos 2010

"Umno kawal minda orang Melayu"


1 Datuk Seri Chua Jui Meng Oleh Fazy Sahir

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden MCA Datuk Chua Jui Meng mendakwa , Umno telah memainkan sentimen kedudukan orang Melayu yang ‘terancam’ oleh bukan Melayu sejak 50 tahun lalu.

Beliau yang juga bekas menteri kesihatan berkata, propaganda itu sentiasa dimainkan oleh Umno agar dapat meracuni pemikiran orang Melayu sehingga ‘tiada anjakan paradigma’ walaupun negara merdeka lebih separuh abad.

"Selama beberapa tahun ini, Umno telah menggunakan propoganda bahawa Melayu terancam. Umno cuba untuk mengawal pemikiran dan hati orang Melayu, dengan memberitahu mereka bahawa kemajuan kaum lain akan membuatkan mereka miskin.

"Propaganda ini cuba meracuni pemikiran orang Melayu dan mereka tidak melihat perkara sebenar. Masalah sebenar bukan kaum lain tetapi Umno.

"Mesej ini penting buat Melayu di seluruh negara. Kita perlu bebaskan pemikiran mereka agar lebih terbuka," katanya dalam temuramah bersama FMT baru-baru ini.

Chua yang menjadi naib presiden MCA selama hampir 15 tahun dari 1990 menyertai PKR pada Julai tahun lalu.

Beliau dua kali bertanding jawatan presiden MCA – pada 2004 mencabar Tan Sri Ong Ka Ting dan 2008 menentang Datuk Seri Ong Tee Keat – kedua-duanya kalah.

Bekas orang kuat MCA itu berkata, akses maklumat daripada media baru memberi anjakan paradigma kepada Melayu terutama di kawasan bandar.

Sedangkan Melayu di luar bandar, katanya, terhad dengan akses seperti itu menyebabkan mereka lebih mudah dipengaruhi oleh propoganda yang dimainkan oleh Umno.

Namun merujuk Melayu di Johor, Chua berpendapat masih sukar Melayu di luar bandar untuk lebih bersikap terbuka.

Ekoran anjakan paradigma inilah yang membawa tsunami politik pada Mac 2008 kerana Pakatan Rakyat berjaya memecahkan ‘racun propaganda’ itu keluar dari pemikiran Melayu.

"Mereka ini mangsa propoganda. Maka kita perlu bebaskan mereka dan agar lebih memahami dan bersikap terbuka. Contohnya seperti Melayu di bandar, kerana mereka akses dengan media alternatif itu yang membezakan pemikiran mereka.

"Ekoran anjakan paradigma inilah yang membawa tsunami Mac 2008 kerana Pakatan berjaya memecahkan ‘racun propaganda’ itu keluar dari benak pemikiran mereka," katanya.
Menurut Chua, Melayu perlu sedar bahawa setiap kebenaran, ancaman dan kejahilan itu datangnya daripada siapa?

"Kita perlu pecahkan pemikiran seperti ini, lihat Melayu bandar sekarang mereka lebih terbuka.

"Namun di Johor mereka masih ada pemikiran ortodoks bahawa Melayu itu Umno, Umno itu Melayu, propoganda seperti ini yang sentiasa meracuni pemikiran Melayu sehingga kini," katanya lagi.

Tiada ulasan: