Selasa, 3 Ogos 2010

Umno-BN Takut Kuasa Rakyat Bersenjatakan Sebatang Lilin


SUARA KEADILAN

SHAH ALAM - Persatuan Pegawai-pegawai Wakil Rakyat Pakatan Rakyat Negeri Selangor mengecam keras tindakan pihak polis yang bertindak secara kekerasan menyurai serta menghalang orangramai daripada mengadakan upacara memasang lilin di di seluruh negara bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri yang kini berusia 50 tahun.

Presiden Selproa, Abdul Razak Ismail berkata persatuan itu mengecam tindakan pihak polis yang berterusan mencabuli kebebasan bersuara, hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Deklarasi Hak Manusia Sejagat Bangsa-bangsa Bersatu.

"Selproa menggesa Datuk Shafee Abdullah yang mewakili Malaysia di peringkat serantau negara-negara Asean dalam AICHR (Asean Inter Governmental Commission of Human Right) agar segera menghantar notis bantahan keras kepada Kerajaan Malaysia terhadap pencabulan hak asasi manusia ini serta segera menfailkan bantahan keras ini kepada Sekretariat Asean di Jakarta.

"Selproa turut menyokong gesaan bersama Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Writers Alliance for Media Independence (Wami) dan Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) agar Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara meletakkan jawatan serta merta untuk bertanggungjawab ke atas tangkapan besar-besaran yang mencabul hak asasi rakyat yang dijamin Perlembagaan Persekutuan," tegasnya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, walaupun selepas 53 tahun negara ini merdeka, kita beranggapan bahawa demokrasi di Malaysia sudah dikira matang tetapi sebaliknya tindakan menangkap secara beramai-ramai pada malam Ahad lalu menunjukkan bahawa kerajaan tidak bertolerasi terhadap hak perhimpunan aman yang telah diiktiraf oleh dunia sejagat

Tambah beliau, Malaysia seolah-olah telah memasuki era ‘Negara Polis’ dan slogan 'Rakyat didahulukan' yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah retorik dan omongan politik kosong semata-mata.

Pada malam Ahad lalu, seramai 36 aktivis termasuk lapan wanita ditahan polis kerana menyertai perhimpunan upacara nyalaan lilin sebagi simbolik membantah ISA anjuran Gerakan Mansuhkan ISA di 8 lokasi utama di seluruh negara.

Tiada ulasan: