Isnin, 9 Ogos 2010

Ujian air kencing Ameng positif dadah: Saksi

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret hari ini, diberitahu ujian saringan air kencing penyanyi kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ameng menunjukkan penyanyi itu positif dadah.

Penolong Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Sjn Halimi Jarkasi, 47, saksi pertama kes itu, memberitahu mahkamah bahawa ujian terhadap spesimen air kencing itu diperoleh daripada Makmal Dadah dan Penyelidikan Jabatan Patologi, Hospital Kuala Lumpur.

Halimi berkata, tertuduh sendiri menandatangani spesimen air kencing itu ketika ditunjukkan kepadanya selepas spesimen itu diambil.

"Sewaktu saya menerima spesimen air kencing itu, saya dapati tertera label nama tertuduh, kad pengenalan, tarikh sewaktu ujian air kencing itu dibuat iaitu pada 6 April lepas dan tertuduh sendiri menandatanganinya," katanya ketika perbicaraan kes itu.

Halimi turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa spesimen air kencing itu disimpan di dalam loker besi yang berkunci di dalam pejabatnya.

"Saya telah menyimpan spesimen air kencing itu di dalam loker besi dan walaupun berkongsi bilik dengan pegawai lain, hanya saya seorang sahaja yang memegang kunci loker itu," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias.

Pada 12 Mei lalu, Ameng, 41, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memasukkan dadah jenis ganja ke dalam badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada pukul 3.45 petang, 2 April lepas.

Penyanyi itu, yang diwakili peguam Kamarulzaman Abdul Rahman, diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.

Ameng, yang popular dengan lagu "Bourgenvilla" dan "Sampai Hati", didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.-Bernama

Tiada ulasan: