Isnin, 9 Ogos 2010

Tujuh lebuh raya bernilai RM19 bilion akan dibina dalam RMK-10

BERNAMA

SEREMBAN— Tujuh lebuh raya yang bernilai RM19 bilion akan dibina dalam Rancangan Malaysia ke-10, kata Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor.

Beliau berkata tujuh lebuh raya itu juga merupakan sebahagian daripada 52 buah projek pembangunan infrastruktur negara yang bernilai RM62.7 bilion yang telah dirancang.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) di sini hari ini, katanya antara tujuh buah lebuh raya itu, ialah Lebuhraya Pantai Barat yang akan menghubungkan Banting, Selangor sehingga ke Perak yang bakal menjadi alternatif kepada Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Menurutnya enam daripada tujuh lebuh raya itu masih lagi menunggu kelulusan Unit Perancangan Ekonomi yang kini membuat kajian mengenai kos pembinaan lebuh raya berkenaan.

Mengenai Lebuhraya LEKAS, beliau berkata ia bakal menjadi alternatif kepada Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang merupakan laluan yang paling dekat ke Bera, Pahang.

“Kita mencadangkan pada Kerajaan supaya jalan utama antara Serting, Jempol (di Negri Sembilan)) ke Bera (Pahang) dinaik taraf kerana kita tidak mahu orang ramai yang mulanya lalu lebuh raya baik tetapi tiba-tiba tersangkut di jalan yang kualitinya kurang memuaskan... jadi jalan dari Kuala Pilah ke Serting yang kemudian terus ke Bera, sebelah Pahang akan turut dinaik taraf,” katanya.

Sementara itu dalam ucapan, Shaziman berkata negara kini mempunyai 27 buah lebuh raya dengan jumlah panjang 1,630 kilometer.

Beliau berkata dalam tempoh 29 tahun dari 1981 hingga tahun ini, sebanyak RM95.6 bilion telah dilaburkan swasta dan kerajaan untuk projek-projek ini, katanya.

Dalam pada itu, Shaziman melahirkan rasa puas hati terhadap kualiti dan perkhidmatan lebuh raya negara ini kecuali syarikat konsensi lebuh raya ini menambah Sistem Paparan Maklumat (VMS) pada lebuh raya mereka.

“Kalau boleh kita mahu VMS memaparkan kesesakan yang berlaku di lebuh raya sebelum kenderaan awam masuk ke lebuh raya ini. Kita akan minta syarikat-syarikat ini mencari jalan untuk memaklumkan orang ramai mengenai pilihan kepada pengguna untuk gunakan lebuh raya lain,” katanya.

Beliau juga meminta supaya syarikat konsensi lebuh raya ini mempertimbangkan untuk memberi tawaran diskaun kepada orang ramai yang akan balik kampung semasa musim perayaan ini.

Tiada ulasan: