Jumaat, 13 Ogos 2010

Tren elektrik tumpuan warga kota balik raya

BERITA HARIAN

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang bergerak dengan kelajuan 160 kilometer (km) sejam dan mengambil masa dua jam perjalanan Kuala Lumpur-Ipoh sekali gus menjadi pilihan terbaik kepada warga kota untuk pulang berhari raya nanti.

Selain itu, sepanjang tempoh promosi sehingga Februari tahun depan, tambang perjalanan sehala antara Kuala Lumpur dan Ipoh, RM30 seorang.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata rakyat akan menikmati perkhidmatan diberikan pada masa promosi meliputi sambutan Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Krismas dan Tahun Baru Cina akan datang.

Selepas tempoh itu, tambang yang akan dikenakan RM45.40 seorang sehala. Kita juga mengenakan tambang istimewa kepada kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan pesara kerajaan. Bagaimanapun jumlah tambang masih dalam perbincangan dan akan diumumkan tidak lama lagi, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh, menaiki tren berkenaan selepas melancarkan perkhidmatan terbaru itu di Stesen Kuala Lumpur, semalam.

Terdapat empat perkhidmatan tren disediakan setiap hari dengan dua daripadanya bermula di Stesen Kuala Lumpur Sentral manakala dua lagi memulakan perkhidmatan di Stesen Ipoh dengan keupayaan membawa 350 penumpang setiap perjalanan.

Perkhidmatan ini adalah yang terpantas yang pernah disediakan oleh KTMB. Dua jenis perkhidmatan tren ETS yang beroperasi iaitu Transit dan Ekspres. Transit yang akan berhenti di sembilan stesen manakala Ekspres akan berhenti di enam stesen, katanya.

Tiada ulasan: